Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Satu resolusi kepada geran khas 40 peratus kepada Sabah yang sekian lama tertunggak dijangka dicapai dalam tempoh 12 bulan, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bersetuju menerima pakai resolusi ini.
Dr. Jeffrey menekankan bahawa menyelesaikan isu ini, yang belum selesai sejak 58 tahun lalu, adalah penting untuk memastikan Sabah mendapat haknya.
Mewakili Kerajaan Sabah dalam Jawatankuasa MA63, Dr. Jeffrey menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menunaikan hak perlembagaan yang tertunggak.
“Rakyat Sabah telah menunggu lebih setengah abad untuk masa ini, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan penantian itu tidak berpanjangan lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Jeffrey mengiktiraf dan menghargai peruntukan geran khas interim berjumlah RM300 juta daripada Putrajaya, tetapi menggariskan bahawa ini seharusnya hanya berfungsi sebagai penyelesaian sementara.
“Peruntukan sementara itu, walaupun besar, hanyalah sebahagian daripada apa yang sepatutnya diberikan kepada Sabah. RM300 juta itu sememangnya satu langkah positif, tetapi matlamat utama kita ialah merealisasikan 40 peratus hasil bersih,” katanya.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata, formula baharu tidak diperlukan bagi pemberian hak hasil khas itu.
Beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan telah menyediakan mekanisme yang jelas untuk ini, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D, 112C, dan 112C(6), bersama dengan Perenggan 24 Laporan IGC.
“Maklumat atau data yang diperlukan untuk pengiraan ini boleh dan perlu disediakan oleh agensi Persekutuan seperti Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN). Rangka kerja itu ada, apa yang kita perlukan sekarang ialah data yang sesuai,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar Sarawak menggunakan formula yang sama seperti Sabah, bukannya mewujudkan formula yang berasingan.
“Saya percaya bahawa keseragaman itu bukan sahaja akan membawa konsistensi tetapi juga mempercepatkan proses penyelesaian dan mengelakkan kelewatan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Dr. Jeffrey menjelaskan bahawa penerimaan geran RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan tidak boleh disalah anggap sebagai Sabah melepaskan haknya ke atas hasil bersih 40 peratus.
Sebaliknya, tegas beliau, ia adalah langkah stopgap sementara usaha mencari penyelesaian kepada isu pokok diteruskan.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal komited untuk menjaga hak dan kepentingan Sabah. Dakwaan pembangkang bahawa GRS telah menyebabkan Sabah kehilangan hak 40 peratus hasil bersih adalah tidak berasas dan hanya serangan berterusan terhadap pentadbiran kita.
“Kami menyeru semua pihak khususnya Kerajaan Persekutuan untuk memberi kerjasama dan memastikan perkara ini diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan.
“Demi kepentingan rakyat Sabah kita perlu memperoleh hak 40 peratus hasil bersih negeri, melindungi autonomi negeri, dan terus membangunkan ekonomi kita untuk kesejahteraan rakyat kita,” katanya.