Buaya yang telah membaham mangsa. – Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang lelaki berusia 60 tahun yang dilaporkan hilang di sini empat hari lalu akhirnya ditemui dalam perut seekor buaya hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, buaya yang dipercayai telah membaham mangsa, Addi Bangsa itu ditemui oleh pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keempat.
Pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu menembak buaya itu sebelum membelah perutnya dan menjumpai mangsa di dalam perut buaya itu.
“Seterusnya pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh ahli keluarganya di Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 11 pagi, tambahnya.
Mangsa dilaporkan hilang, dipercayai dibaham buaya sekitar jam 4 pagi di Kampung Sungai Mas-Mas Nasib Kita, 19 Julai lepas.