Dr. Mohtar Pungut
JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menyiasat dakwaan seorang ibu bahawa bayi mengalami kecederaan selepas terjatuh sewaktu menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut dalam masa yang sama memohon mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang andaian berkaitan insiden tersebut.
“Pihak hospital merasa kesal terhadap insiden yang berlaku seperti dikongsikan akaun media sosial Facebook ‘Sis Azie’ bertarikh 18 Julai 2023 mengenai insiden bayi terjatuh sewaktu menerima rawatan.
“Sehubungan itu, satu perjumpaan bersama ibu bapa bayi berkenaan telah diadakan pada 17 Julai lalu dan penerangan telah diberi berkenaan insiden, keadaan bayi serta rawatan selepas kejadian.
“Untuk makluman, keadaan bayi adalah stabil dan berada dalam pemantauan rapi pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Terdahulu, tular dalam media sosial mendakwa bayi berkenaan yang dikenali sebagai Mohd Afiq. Firdaus dilahirkan tidak cukup bulan dan terpaksa ditahan di wad.
Sebuah portal tempatan melaporkan pihak ibu bayi dikejutkan pihak hospital pada pukul 11.30 malam, 16 Julai lalu memaklumkan kejadian berkenaan.
Difahamkan, bayi berkenaan mengalami kecederaan selepas terjatuh akibat kecuaian seorang jururawat. Dakwaan tersebut menjadi tular dalam media sosial sehingga mendapat pelbagai komen orang awam.