Tun Juhar (duduk kiri) dan para hadirin mengaminkan bacaan Doa Awal Tahun 1445 Hijrah yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sabah.
KOTA KINABALU: Kira-kira 1,000 umat Islam menyertai bacaan surah Yasin dan Tahlil sempena Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1444H dan Awal Tahun 1445H.
Majlis dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Datuk Mahiruddin dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1444 Hijrah dan doa awal tahun baharu 1445H dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar.
Manakala Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting mengimamkan solat Maghrib disusuli bacaan surah Yasin, tahlil, doa selamat, solat Isyak dan solat sunat Hajat secara berjemaah.
Terdahulu, Tun Juhar dan para hadirin mengikuti Tazkirah Hijrah yang disampaikan penceramah jemputan khas daripada Pemimpin Majlis Rasulullah Malaysia, Habeb Nael Ben Taher.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2023, Datuk Dr Mohd. Arifin Mohd Arif; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kazim M. Yahya dan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Rafail Walangitan selain menteri-menteri kabinet negeri.































