Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM12 juta tahun ini untuk membantu sebanyak 1,600 buah sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Sabah di bawah program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Katanya, sekolah-sekolah tersebut akan menerima bantuan berupa
kelengkapan seperti komputer, LCD projektor, printer, Smart TV, penghawa dingin dan pembesar suara mudah alih yang diberikan secara berperingkat.
Beliau berkata, BISBAH merupakan antara inisiatif bantuan-bantuan pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasakan prestasi pendidikan di negeri ini.
“Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama yang diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut peruntukan sebanyak RM7.5 juta kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM dengan bayaran sebanyak RM200 seorang melalui Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), dengan mensasarkan seramai 38,000 orang pelajar dari kalangan keluarga B40 dan M40.
“Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap keperluan kewangan yang dihadapi oleh golongan B40 terutama bagi membiayai pendaftaran melanjutkan pelajaran anak- anak ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Justeru, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) telah diperkenalkan pada tahun lalu dan diteruskan lagi tahun ini.
“Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) berjumlah RM1 juta kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan dikreditkan kepada penerima yang layak melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” tegasnya.
Katanya, Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk membantu membaiki kerosakan dan menyelenggara yang melibatkan kos dibawah RM50,000 dan ke bawah.
Beliau berkata, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) mensasarkan pelajar Sabah dari golongan e-kasih yang sedang belajar di IPT dan tidak berkemampuan untuk membeli komputer bagi tujuan pembelajaran juga diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk sasaran 1,000 komputer riba.
Menurut Hajiji, komitmen lain Kerajaan Negeri termasuklah Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dengan peruntukan sebanyak RM 500,000. Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) turut dilancarkan untuk pelajar Sabah di dalam dan luar negara.
“Peruntukan sebanyak RM 500,000 juga telah diperuntukkan untuk Persatuan Pelajar Sabah yang berdaftar di bawah SEMESTA untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti persatuan,” tambahnya.
Beliau berharap semua intensif bantuan pendidikan yang telah disediakan Kerajaan Negeri dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua penerima, sekaligus dapat menyuntik semangat mereka untuk lebih tekun dalam meneruskan pembelajaran dan seterusnya melakar kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang.
Sementara itu, Hajiji berkata, Human Capital Development Blue Print for Sabah (2021- 2035) telah disediakan bagi memastikan sukatan pelajaran, ilmu kemahiran dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa kekal relevan, selain menjadi garis panduan bagi program pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program latihan kemahiran termasuk TVET yang relevan dengan keperluan industri semasa dan menambah baik kemudahan dan alat bantuan latihan di institut-institut latihan di bawah agensi-agensi kerajaan di negeri ini.
“Bidang pendidikan sentiasa diberikan keutamaan oleh kerajaan. Ini kerana pendidikan penting untuk mengubah nasib anak bangsa. Anak-anak muda yang ada pada masa kini perlu terhindar daripada terjerumus dengan idealogi yang sempit dan merosakkan minda.
“Mereka perlu dilahirkan dengan pemikiran yang berdaya saing serta sentiasa berlumba-luma untuk mengejar kecemerlangan,” tegasnya.