Anwar Ibrahim meninjau reruari pameran ketika program Mini KUD anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dataran Amanjaya, Sungai Petani.
SUNGAI PETANI: Rakyat termasuk masyarakat desa dinasihatkan tidak terpengaruh dengan pandangan yang tidak berfaedah atau ‘haprak’ oleh pihak lain terhadap usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi mereka terutama dalam kalangan usahawan desa.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui pelbagai agensinya berperanan membantu rakyat sekali gus perlu diberi perhatian oleh rakyat melalui janji yang dilaksanakan dan bukan sekadar dilafazkan.
“Hari ini Karnival Usahawan Desa (KUD) ini direncanakan berbulan lalu, saya minta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi ruang mengangkat lagi martabat (usahawan desa) dan strategi diselarikan dengan kegiatan halal.
“Kita tahu halal sekarang bukan hanya di negara Islam, ia dikembangkan hingga ke negara China, Eropah dan tentunya di negara Arab, maknanya peluang memang ada. Selarikan dan dengar pandangan serta nasihat (kementerian) supaya kita dapat tingkatkan mutu pengeluaran untuk mendapat hasil lebih baik.
“Kita (akan) bantu, saya hendak beritahu tak mudah kita dapat menteri yang begitu prihatin, cari jalan untuk tingkatkan pendapatan desa, ambil peluang ini, jangan dengar pandangan ‘haprak’ yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Mini KUD yang turut dihadiri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Dataran Amanjaya, di sini kelmarin.
Perdana Menteri menegaskan, walaupun pimpinan dalam kerajaan silih berganti namun pihak yang diberikan mandat untuk mentadbir harus memikul amanah dan menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Ekonomi desa tidak akan mampu berkembang sekiranya pemimpinnya hanya berfikir untuk ‘menyakau’. Nak cakap soal ekonomi desa, kalau pimpinannya dok kira nak sakau macam mana nak jaga rakyat, ada orang yang bicara tapi tak amalkan.
“Ada sekarang ini asyik caci maki, hentam sindir orang politik. Perdana Menteri kena balun (hentam) teruk. Pelajar pun kena hentam sekarang. Kita negara yang ada undang-undang ada hukum, bukan hukum belantara, ada yang boleh dan ada yang tak boleh,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan komited untuk membantu masyarakat miskin di negara ini termasuk memperuntukkan sejumlah RM460.2 juta untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara bagi tahun ini.
“Sebanyak 3,030 unit bina baharu (rumah PPRT) melibatkan peruntukan RM244.4 juta, baik pulih rumah RM215.8 juta iaitu sebanyak 12, 242 unit rumah yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM460.2 juta.
“Ada dah lulus, dah dilaksanakan, dalam proses untuk ditingkatkan jadi saya harap dengan penjelasan ini kita boleh bagi peluang untuk (kerajaan) terus berkhidmat kepada rakyat, kurangkan sikit ketegangan di negara kita dan bawa mesej yang jelas,” katanya.