Tujuh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga menyebabkan ketirisan cukai kastam berjumlah kira-kira RM33 juta.
PETALING JAYA: Seramai tujuh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga menyebabkan ketirisan cukai kastam berjumlah kira-kira RM33 juta.
Penahanan kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu dilakukan di Pejabat SPRM Kedah antara pukul 5 petang hingga 10.30 malam semalam ketika mereka hadir memberi keterangan.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, suspek-suspek berkenaan yang merupakan ejen kastam dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta terlibat mengemukakan dokumen mempunyai maklumat palsu.
Kata sumber itu, dokumen berkenaan bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya.
“Dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM itu juga membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak dan Sabah,” kata sumber itu.
Susulan penahanan tersebut, Majistret Nurshahida binti Abdul Rahim membenarkan kesemua suspek direman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 17 Julai 2023 setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.