Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam kawasan loji air di Kundasang, Ranau. – Ihsan Bomba
RANAU: Tiga orang cedera apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sendiri dan terjunam ke dalam kawasan loji air di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian itu berlaku di Loji Air Mesilau, Kundasang, pada jam 6.20 petang.
Katanya, BBP Ranau menerima panggilan menerusi talian balai dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Becket Gumat dikejarkan ke lokasi bersama sebuah jentera FRT Bomba dan sebuah jentera EMRS.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 25 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna merah telah hilang kawalan lalu terjunam ke dalam kawasan loji air di Mesilau.
“Terdapat tiga mangsa terlibat iaitu seorang lelaki dan dua wanita yang berjaya dikeluarkan daripada kenderaan lalu dikejarkan ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya.
Setelah memeriksa di sekeliling lokasi insiden itu dan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada kira-kira jam 7 malam.































