Pasukan bomba ketika melakukan pemadaman. – Ihsan Bomba
KOTA BELUD: Sebuah rumah kosong tidak berpenghuni musnah dalam satu kebakaran di sini tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Muhammad Syazwan Latun berkata, kejadian berlaku di Kampung Lebak Moyoh.
Menurutnya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 12.48 tengah malam, dan sepasukan 10 anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II KUP Francis Sembee bersama sebuah jentera dan van EMRS dikejarkan ke lokasi.
Setiba di lokasi yang terletak dua kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong tidak berpenghuni jenis tidak kekal berkeluasan 40×50 kaki terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan 100 kaki sumber air dari jentera dan sumber air terbuka,” katanya.
Syazwan berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 1.23 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 2.08 pagi.































