Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Dua buah rumah musnah dalam satu kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat berpanjangan di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian itu berlaku di Skim Penempatan Telipok.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 3.41 petang, dan sepasukan 10 anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II (KUP) Mohd. Yusri Jamri bersama sebuah jentera dan van EMRS bergegas ke lokasi.
Setiba di lokasi yang terletak 13 kilometer dari BBP itu, mereka mendapati berlaku satu insiden tanah runtuh melibatkan dua buah rumah kediaman jenis tidak kekal luas 20×15 kaki persegi (tidak berpenghuni) dan 10’x15 kaki persegi (berpenghuni) yang telah musnah 100 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat. Tindakan pemantauan di lokasi kejadian dijalankan serta memastikan tiada kemerbahayaan lain,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 5.25 petang, tambahnya.





























