Keadaan kebakaran melibatkan sederet kedai enam pintu di Lahad Datu awal pagi tadi.
LAHAD DATU: Sederet bangunan kedai enam pintu hampir musnah dalam kebakaran di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid berkata, kejadian berlaku di Kampung Tungku, pada kira-kira jam 4 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 4.10 pagi dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohamud Punya dikejarkan ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian yang terletak 67 kilometer dari BBP itu, pasukan bomba mendapati satu kebakaran melibatkan sebuah bangunan kedai jenis kekal.
“Terdapat enam lot kedai dan dua daripadanya berjaya diselamatkan manakala satu lot kedai berukuran 40×30 terbakar 90 peratus dan tiga lot kedai masing-masing berukuran 20×30 terbakar 30 peratus,” katanya.
Sumsoa berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 100 kaki satu pancutan sumber air dari jentera FRT.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.28 pagi dan setelah memastikan keadaan selamat operasi ditamatkan pada jam 6.19 pagi,” kata beliau.































