Keadaan van pelancong yang terbabas itu. – Ihsan Bomba
RANAU: Dua wanita cedera apabila sebuah van pelancong membawa 10 orang terbabas sendiri di Jalan Kundasang-Mesilou, dekat sini, petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian itu berlaku berhampiran Cottage Hotel Ranau pada jam 3.53 petang.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Wasli Saupin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 17 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah van berkapasiti 12 penumpang membawa pelancong terbabas sendiri.
“Terdapat 10 orang iaitu lima lelaki termasuk pemandu dan lima perempuan terlibat yang dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera tiba,” katanya.
Tambahnya, terdapat dua orang mangsa perempuan mengalami kecedaraan ringan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan seorang daripadanya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Maklumat mengenai yang cedera tidak diperoleh.
“Lapan orang mangsa yang lain berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 5.27 petang.































