Lokasi di mana kejadian itu berlaku. – Ihsan Bomba
TUARAN: Seorang budak lelaki berusia 13 dilaporkan hilang selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai dari jambatan gantung di Kg. Damat-Kg. Lakang, Telibong, di sini, kelmarin.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu menerusi talian MERS999 pada jam 2.38 petang.
Menurut si pemanggil, mangsa bersama lima orang rakan berada di atas jambatan gantung dan mangsa tergelincir jatuh ke dalam sungai.
Mangsa dilaporkan berpakaian baju warna kuning dan berseluar hitam semasa kejadian tersebut.
Pasukan bomba diketuai Pegawai Operasi, PKPgB Mohd. Abd. Qawie Abdul Gapar berada di lokasi kejadian mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pinggir sungai bersama agensi bantuan seperti PDRM, APM dan orang kampung menggunakan bot.
Operasi ditangguhkan pada jam 6.50 petang kelmarin dan akan disambung pada pagi ini.
Setakat ini, mangsa belum dijumpai.





























