Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Pelaburan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. dan SBH Kibing Silicon Materials (M) Sdn. Bhd. telah mewujudkan sebanyak 2,100 peluang pekerjaan di negeri ini dan hanya 54 peratus peluang pekerjaan telah diisi setakat ini.
Oleh itu, dianggarkan sejumlah lebih daripada 800 peluang pekerjaan yang masih boleh dimohon oleh rakyat Sabah.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe yang mengumumkan ini berkata, syarikat ini adalah merupakan antara pelabur besar di Sabah dengan anggaran nilai pelaburan sejumlah RM2.48 Bilion bagi pembangunan kilang pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan kilang pemprosesan pasir silika di Kudat.
“Menerusi pelaburan ini, dianggarkan sejumlah 2,100 peluang pekerjaan telah diwujudkan di negeri ini.
“Pada masa ini, hanya sejumlah 54 peratus peluang pekerjaan telah diisi berdasarkan anggaran jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan.
“Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) telah mengambil langkah proaktif untuk menangani keperluan tenaga kerja yang mendesak ini dengan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan dan Agensi yang berkaitan serta institusi kemahiran dan pengajian termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu pada hari ini yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian bagi memastikan kekosongan jawatan ini dapat diisi sebelum kilang syarikat pelabur beroperasi yang dijangkakan pada penghujung tahun ini.
“Dianggarkan sejumlah lebih daripada 800 peluang pekerjaan yang masih boleh dimohon oleh rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Phoong, antara jenis pekerjaan yang mendesak diperlukan oleh pihak pelabur adalah seperti chargeman, boilerman, steam engineer, authorised gas tester, forklift driver, shovel driver, dan sebagainya.
“Difahamkan bahawa pelbagai faedah dan insentif turut ditawarkan kepada anak Sabah yang diterima untuk bekerja di syarikat pelabur ini termasuk latihan di dalam dan luar negara bagi mendapatkan pensijilan yang berkaitan untuk peningkatan kerjaya mereka.
“Sehubungan itu, saya menyeru kepada rakyat Sabah di luar sana yang sedang mencari pekerjaan untuk memohon pekerjaan yang bersesuaian di syarikat pelabur ini bagi memenuhi keperluan mendesak tenaga kerja syarikat pelabur tersebut.,” katanya.
Katanya, peluang-peluang pekerjaan yang disediakan ini bolehlah dipohon melalui laman portal MYFutureJob, Jobstreet, Indeed dan Jora atau pemohon boleh mengemukakan resume di alamat emel sbhkibing@gmail.com. Sila hubungi Angelica Ashley Soon di talian 018-2801379 untuk sebarang pertanyaan lanjut.































