Hajiji mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor diberi taklimat peringkat tinggi mengenai Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun antara Malaysia dan Indonesia.
“Sabah sentiasa berada dalam gelung perkembangan terkini dan rundingan berterusan untuk menentukan sempadan dan kawasan yang menjadi pertikaian dalam sempadan maritim kita.
“Sabah akan menghormati Triti tersebut, tetapi kita juga mahu memastikan hak Sabah utuh dan semua isu diselesaikan secara baik (dalam rundingan yang sedang dijalankan),” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Triti antara Malaysia dan Indonesia Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun semasa lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia telah hangat diperkatakan dalam sidang Parlimen lalu.
“Ia telah dijadikan isu politik dan fakta telah dimanipulasi,” katanya.
Jawatankuasa itu diberi taklimat bahawa Triti Laut Sulawesi hanya menyentuh sempadan laut wilayah di luar Pulau Sebatik, bukan pelantar benua dan di luar Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Taklimat kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri itu diberikan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Luar Peguam Negara Persekutuan, Alfian Yang Amri, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim Kementerian Luar Negeri, Datin Paduka Nur Ashikin Mohd Taib dan Timbalan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan, Sr. Powzy Mohd. Som.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Persekutuan, Dato’ Makhzan Mahyuddin, Penasihat Khas kepada Ketua Menteri (Perhubungan Antarabangsa), Senator Tan Sri Anifah Aman, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Komander Divisyen Kelima, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman Wahab, dan Pengarah Keselamatan Sabah, Datuk Noor Alam Khan.































