Kejadian dilaporkan berlaku di rumah kedua-dua beradik itu di Kampung Bukit Piatu, Melaka.
MELAKA: Seorang kanak-kanak 9 tahun maut dipercayai dicekik abang kandungnya sendiri dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.
Menurut saksi kejadian yang juga jiran mangsa, suspek berusia 14 tahun itu didakwa bertindak demikian selepas gagal mengawal dirinya berkemungkinan akibat dirasuk.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian namun tidak mengulas lanjut memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Saya tak sangka kejadian berlaku depan mata kerana abangnya sebelum ini memang budak baik. Cuma baru-baru ini dia mengalami trauma kerana mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah meracau, namun dikatakan telah sembuh selepas dibawa berubat,” dakwa saksi kejadian itu.
Wanita berumur 31 tahun itu berkata, kejadian tersebut disedari ibu kedua beradik itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) diakses menggunakan telefon pintarnya, kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.
Katanya, semasa insiden hanya mangsa dan suspek sahaja berada dalam rumah berkenaan manakala ibu bapa mereka sedang bekerja.
Jelasnya, mangsa sepatutnya pergi ke sekolah pada waktu kejadian, namun tidak hadir kerana berasa kurang sihat.
“Ibu mereka yang ketika itu sedang bekerja telah menghubungi saya meminta bantuan memeriksa keadaan, kerana dia melihat si abang sedang mencekik mangsa melalui aplikasi CCTV.
“Sebaik sahaja saya masuk ke dalam rumah, saya menjerit bila nampak si abang sedang mencekik leher adiknya yang telah pucat dan dipercayai tidak bernyawa,” katanya kepada pemberita.
Tambah saksi, suspek didakwa bertindak demikian selepas gagal mengawal dirinya berkemungkinan akibat dirasuk.
Ujarnya, mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik, manakala suspek adalah anak sulung keluarga tersebut.
“Si abang seakan-akan tidak menyedari perbuatannya sehingga saya terpaksa menepis kuat genggaman tangannya,” katanya.































