Sebahagian daripada golongan asnaf yang menerima sumbangan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidiladha UPPM N.58 Lamag 2023 di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.
KOTA KINABATANGAN: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag akan terus membantu rakyat terutama golongan yang memerlukan selari dengan Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) nya, Johainizam Haji Johari.
Katanya, UPPM selaku agensi dibawah Jabatan Ketua Menteri (JKM) sentiasa prihatin dan mendekati rakyat akar umbi di kawasan DUN itu bagi memastikan nasib mereka terbela.
“Sebab itu, UPPM Lamag telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidiladha 2023 dengan matlamat utama selain meraikan perayaan Hari Raya Haji, ia juga platform untuk bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat Lamag, disamping menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan.
“Setelah sekian lama program sebegini tidak dianjurkan di Lamag, maka UPPM N.58 Lamag telah mengambil inisiatif bagi mewujudkan semula dan menjadi pemecah tembok dan menghapuskan karenah birokrasi diantara pemimpin tempatan dan masyarakat setempat dalam segala hal berkaitan kebajikan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidiladha UPPM N.58 Lamag 2023 di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, Ahad.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Fairuz Renddan merasmikan Majlis Rumah Terbuka Lamag.
Johainizam berkata, seramai 790 orang termasuk 785 asnaf terdiri daripada ibu tunggal, muslimah, golongan kurang mampu terpilih mendapat sumbangan dan manfaat daripada program ini, termasuk lima individu yang dibantu oleh UPPM untuk mendapatkan bantuan kebajikan. Turut dibantu ialah pelajar cemerlang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam 1 dan SMK Bukit Garam 2.
Katanya, dengan adanya program tersebut, masyarakat akan mempunyai ruang dan peluang untuk bertemu dengan pemimpin tempatan seterusnya menyampaikan suara dan masalah mereka untuk perhatian dan tindakan Kerajaan.































