Andi bergambar (duduk depan, tengah) bergambar kenangan dengan semua peserta Program Cakna Usahawan Mahasiswa di UiTM kampus Kota Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: UiTM Cawangan Sabah telah menganjurkan Program Cakna Usahawan Mahasiswa di sini hari ini, disertai lebih 300 orang mahasiswa UiTM Kota Kinabalu.
Program yang menjadi platform bagi warga kampus khususnya mahasiswa dalam berkongsi pendapat, idea dan pendedahan secara langsung berkaitan keusahawanan dan bidang berkaitan dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Beliau turut berkongsi maklumat mengenai perkembangan terkini pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah dalam satu sesi dialog bersama mahasiswa di Dewan Al-Bukhari, UiTM Kampus Kota Kinabalu.

Andi (kiri) ketika memberikan penerangan dalam satu sesi dialog bersama mahasiswa di Dewan Al-Bukhari, UiTM Kampus Kota Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
Andi turut berkesempatan mengunjungi Hub Perniagaan Nestle Youth Entrepreneurship Programme (NYEP) yang merupakan program perniagaan khas inisiatif UiTM bersama Nestle dalam membantu dan melatih pelajar dalam menguruskan perniagaan. Hub perniagaan minuman ini dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa yang terletak di Pusat Pelajar UiTM Kampus Kota Kinabalu.
Program Cakna Keusahawanan ini turut memberikan ilmu serta pendedahan kepada mahasiswa dalam aspek pemasaran dan perniagaan digital melalui TikTok Workshop yang dikendalikan oleh pihak TikTok Malaysia.
Mengenai UiTM
Universiti Teknologi MARA (UiTM) ialah universiti komprehensif terbesar di Malaysia yang menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini yang merangkumi 34 kampus, 4 kolej pengajian, 13 fakulti dan 9 pusat akademik di seluruh negara.
UiTM menawarkan lebih daripada 500 program akademik di peringkat Asasi, Pra diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD, serta Program Profesional. UiTM sentiasa meluaskan akses pendidikan tinggi dan memainkan peranannya dalam pembinaan negara dengan menyerlahkan potensi, membentuk masa hadapan.
Antara pencapaian terhebat, UiTM berada pada kedudukan ke-105 dalam QS Asia University Rankings 2022, berada pada kedudukan 651-700 dalam QS World University Rankings 2022, serta berada pada kedudukan 361-380 dalam QS World University Rankings: Sustainability 2023 dan ke-4 di Malaysia. Subjek Hospitality and Leisure Management pernah berada pada kedudukan ke-42 terbaik di dunia daripada 14 subjek UiTM lain yang tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject. UiTM turut berada pada kedudukan 101-200 dalam penarafan Times Higher Education Impact Rankings 2022 dan menerima anugerah 3G SDGs Championship Award 2022. Pada Jun 2022, UiTM dipilih sebagai penerima Reader’s Digest Trusted Brand Gold Award 2022 kali ke-12 bagi kategori Universiti Awam dan untuk pertama kalinya menerima anugerah The BrandLaureate BestBrands Awards 2022 – The Nation’s Pride Higher Education. UiTM berada pada kedudukan ke-150 dalam penarafan UI GreenMetric (UIGM) World University Rankings 2021 dan telah memenangi pingat emas bagi kategori Iklan Kreatif Terbaik pada peringkat antarabangsa dalam QS APPLE Creative Awards 2020 .
Dengan lebih daripada 900,000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, UiTM menawarkan peluang dalam membentuk pemimpin pada peringkat kebangsaan, industri dan global bagi mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025.































