PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 bagi kesemua enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, susulan itu SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada Rabu ini dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Katanya, mesyuarat berkenaan akan membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri Ke-15 seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut,” katanya.































