Azizah Eiyi (dua, kiri) dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim (kiri) bersama ahli keluarganya yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air ketika berkelah di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, kelmarin.
KEMAMAN: Identiti sembilan daripada 10 mangsa yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat sini, kelmarin telah dikenal pasti.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa merupakan sepasang suami isteri bersama tujuh anaknya, berasal Felda Lepar Hilir, Gambang, Pahang.
“Selepas pengecaman mayat dilakukan oleh waris, mayat pertama yang ditemukan ialah Azizah Eiyi yang berusia 40 tahun manakala mayat kedua merupakan anaknya iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, berusia 11 tahun,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Hanyan berkata, pihaknya masih mengenal pasti identiti sebenar seorang lagi lelaki.
“Operasi pencarian dihentikan sementara dan disambung esok pagi (hari ini) berikutan cuaca buruk ekoran hujan lebat dan membahayakan pasukan penyelamat,” katanya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan dua mangsa ditemukan meninggal dunia manakala lapan lagi dikhuatiri dihanyutkan kepala air ketika berkelah di jeram tersebut kelmarin.
Mayat Azizah ditemukan di tebing Kampung Pasir Gajah kira-kira pukul 12.45 tengah hari iaitu 24 kilometer dari lokasi mereka berkelah manakala mayat anaknya, ditemui kira-kira pukul 5 petang tiga kilometer dari lokasi kejadian.






























