Tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia dua tahun nyaris maut apabila Perodua Myvi dinaiki mereka terlanggar tiga ekor kerbau di Kilometer 15, Jalan Pekan-Kuantan di Pekan, Pahang.
PEKAN: Tiga sekeluarga nyaris maut apabila kereta dinaiki merempuh tiga ekor kerbau yang melintas jalan di Kilometer 15 Jalan Pekan-Kuantan di sini kira-kira pukul 8.46 pagi kelmarin.
Ketika kejadian, mangsa, Wan Mohamad Zaki Wan Abd. Raman, 28, bersama isteri, Nur Izzati Zamri, 27, dan anak mereka berusia dua tahun, Wan Nur Zia Nafiza dikatakan dalam perjalanan dari Johor ke Kelantan.
Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kereta jenis Produa Myvi dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Suprintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, apabila sampai di tempat kejadian, sekumpulan empat ekor kerbau melintas dari arah kiri ke kanan.
“Pemandu kereta terbabit cuba menggelak ke sebelah kanan dan terlanggar tiga ekor kerbau,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Mohd. Zaidi berkata, siasatan mendapati kejadian kemalangan berpunca daripada binatang ternakan yang melintas jalan.































