Yee Tsai Yiew
KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diseru mendigitalkan sistem kupon letak kereta bagi mengganti sistem tradisional yang menggunakan kaedah kupon gores.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah Api-Api, Yee Tsai Yiew berkata sistem kupon letak kereta yang digunapakai masa ini menimbulkan kekecewaan di kalangan pemandu, dan menuntut penyelesaian secepat mungkin.
Beliau menyifatkan sistem sedia ada sebagai kurang mesra pengguna, kerana terdapat segelintir pemandu bukan sahaja menghadapi kesukaran mendapatkan kupon letak kereta, malahan ada di kalangan mereka tidak pasti tentang kupon mana yang hendak digunakan.
“Selain itu, sifat fizikal kupon sering menyebabkan kekotoran dan tidak menarik,” katanya dalam satu kenyataan.

Kupon gores
Yee berkata, cadangan beliau sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar hijau dan pintar.
“Satu penyelesaian yang dicadangkan ialah mewujudkan sebuah aplikasi tempat letak kereta yang komprehensif dan akan memudahkan pengguna jalan raya di bandar ini. Aplikasi yang dicadangkan itu akan menyediakan lokasi tempat letak kereta, membolehkan pembayaran dan merekod masa, serta membantu pengesanan untuk kemudahan penggunanya,” jelas beliau.
Yiew turut menggesa PBT mengkaji sistem e-kupon yang dilaksanakan Kerajaan Selangor melalui Sistem Letak Kereta Pintar pada 2022.
Sistem ini terbukti berjaya dan membawa kepada pengurangan penggunaan kertas sebanyak 900 tan, membawa kepada penjimatan kos tambahan dan yang paling penting, penyelesaian alam sekitar dan mesra pengguna.
Beliau menegaskan bahawa dengan mengikuti arus perubahan teknologi dan amalan mampan, bandar raya ini boleh mewujudkan sistem tempat letak kereta yang mengubah gaya hidup penduduk dan menjaga alam sekitar.































