Andi (tengah) bergambar bersama dengan semua yang hadir dalam Hari Bersama Pelanggan Peringkat SESB Zon Selatan / Tawau.
TAWAU: Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, sistem dan prosedur yang tidak dinamik serta lapuk dalam sesebuah organisasi perlu dihapuskan.
Beliau berkata, organisasi seperti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang merupakan sebuah organisasi utiliti tersendiri di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menuntut seluruh warganya untuk sentiasa mencari kaedah dan peluang menambah baik dan memantapkan kecekapan masing-masing, terutamanya kumpulan yang berhadapan dengan pengguna setiap hari.
“Justeru, perkhidmatan berasaskan integriti, kebertanggungjawaban, berkualiti tinggi, responsif dan bersedia memenuhi kehendak pelanggan semasa samada pelanggan dalaman maupun pelanggan luar amat penting,” katanya pada Hari Bersama Pelanggan Peringkat SESB Zon Selatan / Tawau yang diadakan di Dewan SMJ Tanjung Batu Darat/Taman Ria, di sini, hari ini.

Andi (tengah) menyaksikan SESB menyumbangkan lembu korban kepada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan.
Andi memuji SESB yang telah membangunkan satu aplikasi bagi memudahkan pengguna untuk mengakses perkhidmatan SESB dengan cepat dan pantas.
“Aplikasi mobil mySESB merupakan satu usaha SESB ke arah pendigitilan.
“Aplikasi ini membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan SESB pada bila-bila dan di mana-mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya, sambil berharap SESB terus memacu citra kecemerlangan dalam melaksanakan visi dan misi SESB sebagai pemacu pembangunan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Hari Bersama Pelanggan yang dianjurkan oleh SESB ini adalah satu wadah yang memberikan peluang kepada masyarakat khasnya di Tawau untuk mengenali SESB dengan lebih dekat lagi.
Andi berharap ia akan lebih berfokus dan mampu memberi impak yang positif bagi memperkasakan perkhidmatan pelanggan dengan lebih cekap dan berkesan terutamanya perkhidmatan barisan hadapan (kaunter).
“Saya percaya program seperti ini akan membantu SESB dalam memaksimumkan output, meminimumkan input, mempercepatkan proses, dan mempertingkatkan kegirangan pelanggan. Pemangkin kepada produktiviti, tidak lain, adalah kreativiti dan inovasi.
“Ini adalah kerana inovasi memberi nilai tambah kepada kualiti perkhidmatan. Walau bagaimanapun, kualiti, produktiviti, kreativiti dan inovasi tidak lengkap tanpa integriti.
“Saya percaya usaha proaktif ini tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk menzahirkan gagasan mesra pelanggan dan bersifat terbuka dalam menerima maklum balas tentang perkhidmatan yang diberikan,” katanya.
Beliau menyeru semua masyarakat, terutamanya para pengunjung yang datang pada hari ini, dapat memanfaatkan program ini untuk mengenali SESB dengan lebih dekat lagi dan seterusnya suasana harmoni antara SESB dan masyarakat/pengguna dapat diwujudkan.































