Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Tuaran malam tadi. – Ihsan Bomba
TUARAN: Seorang lelaki warga emas cedera melecur dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abd. Qawie Abdul Gapar berkata, kejadian berlaku di Perumahan Kampung Kionsom Baru, pada kira-kira jam 7.20 petang.
Katanya, panggilan diterima melalui talian MERS999 pada jam 7.24 malam dan sepasukan 12 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mahmud Jumah bergegas ke lokasi.
Setiba ditempat kejadian yang terletak 12 kilometer dari balai itu, pasukan bomba mendapati rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 30X40 kaki persegi itu terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran 200 kaki dua pancutan sumber air dari tangki jentera,” katanya.
Menurut Mohd. Abd Qawie, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 66 tahun mengalami kecederaan melecur lima peratus di bahagian tangan kiri.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS tetapi tidak mahu dihantar ke hospital,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.55 malam dan setelah pemeriksaan dijalankan di sekitar kawasan memastikan tiada kemerbahayaan lain wujud, operasi ditamatkan pada jam 9.50 malam.































