Jahid (duduk, tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu dan penduduk yang hadir.
TAMPARULI: Ibu bapa perlu memainkan peranan penting ke arah pembentukan peribadi mulia dengan merangsang minat anak-anak mereka membaca al-Quran sejak kecil.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, peranan ibu bapa penting dalam mendidik dan membentuk anak-anak mereka untuk belajar mengaji sekaligus memahami isi kandungan al-Quran, dengan kaedah yang bersesuaian serta disiplin yang betul.
“Bukan sekadar membaca al-Quran tetapi mampu menghafal serta menghayati erti surah yang dibaca, adalah satu kejayaan kepada kita sebagai ibu bapa,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Daerah Kecil Tamparuli di Surau Al-Falah Kampung Bantayan, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Surau Al-Falah Kg. Bantayan, Dahlan Mohd. Yassin, Penyelia KAFA Daerah Tamparuli, Ustazah Maisarah Ab Rahim.
Katanya, ibu bapa juga tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada guru agama di sekolah untuk mengajar anak-anak mereka mengaji al-Quran kerana ini merupakan tanggungjawab mereka bersama.
“Di rumah, selain mengajar anak-anak banyak perkara sebagai bekal hidup mereka kelak, kita juga berperanan sama untuk mengajar mereka menghayati dan memahami ajaran dalam al-Quran.
Dalam pada itu, Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, mengagumi keberanian anak-anak KAFA Tamparuli mempersembahkan bakat terpendam masing-masing.
“Kepada yang berjaya, saya doakan semoga sampai ke peringkat kebangsaan, dan kepada yang tidak berjaya, tingkatkan lagi usaha dan cuba lagi tagun hadapan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi KAFA Daerah Tuaran dan Tamparuli, Roslani Abdullah, berkata, di kawasan Tamparuli, sebanyak 21 sekolah KAFA, 38 tenaga pengajar dan seramai 900 orang pelajar kesemuanya.
Antara pertandingan yang diadakan termasuklah tilawah, hafazan, bercerita, seni khat dan tulisan jawi.































