Keadaan tempat letak kereta di Hospital Ibu dan Anak, Likas
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Bahagian Api-Api Parti Bersatu Sabah (PBS), Yee Tsai Yiew menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk menangani masalah kekurangan tempat letak kereta di hospital kerajaan.
Beliau berkata, kekurangan tempat letak kereta di hospital telah menjadi masalah serius disebabkan oleh penambahan penduduk dan keperluan perubatan yang meningkat.
“Masalah in menyebabkan pesakit dan keluarga mereka menghabiskan masa yang lama untuk mencari tempat letak kereta yang sesuai. Selain itu, kakitangan hospital juga menghadapi masalah yang sama, yang boleh menyebabkan mereka lewat dan menambahkan tekanan kerja mereka.”

Yee Tsai Yiew
Beliau memberitahu baru-baru ini seorang wanita telah mengadu bahawa dia terpaksa mengelilingi kawasan hospital beberapa kali kerana masalah ini, menyebabkan wanita itu lewat untuk temujanjinya.
“Wanita itu juga memberitahu bahawa ramai pesakit lain turut menghadapi situasi yang sama, yang bukan saja menyebabkan kesukaran kepada pesakit tetapi juga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan hospital,” kata Yiew yang merupakan bekas calon bagi kerusi parlimen Kota Kinabalu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum lepas, dalam satu kenyataan hari ini.
Yiew mencadangkan agar pihak berkuasa mempertimbangkan keperluan untuk menambah bilangan tempat letak kereta di sekitar kawasan hospital.
“Ini boleh dicapai dengan memperluaskan kawasan letak kereta yang sedia ada, membina struktur letak kereta baharu, atau bekerjasama dengan bangunan komersial berdekatan untuk membenarkan penggunaan tempat letak kereta.
“Selain itu, pihak pengurusan hospital juga boleh mengatur semula kawasan letak kereta untuk menggunakan ruang yang sedia ada dengan lebih optimum,” katanya.
Beliau menambah, pihak hospital juga boleh mendidik dan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam, agar keutamaan tempat letak kereta dapat diberikan kepada pesakit yang tua dan lemah.
Beliau juga menggesa agar pihak pengurusan hospital bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk membuat perancangan lalu lintas untuk memgurangkan masalah kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan hospital.
Beliau menekankan bahawa menangani masalah kekurangan tempat letak kereta di hospital secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan kualiti perkhidmatan hospital.































