Al Hambra dan Yong mengangkat sumpah di hadapan Tun Juhar yang turut disaksikan oleh Hajiji di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Nur Jauhar, Datuk Haji Al Hambra Tun Juhar dan Timbalan Presiden/Setiausaha Agung Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Richard Yong We Kong dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baharu.
Al Hambra dan Yong mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin selepas menerima watikah pelantikan mereka dalam majlis ringkas yang dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Mereka menandatangani dokumen pelantikan masing-masing di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Ismail Brahim.
Menggantikan Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Ginibun, pelantikan Al Hambra dan Yong adalah selama lima tahun.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni, Speaker Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong serta tetamu kenamaan lain.































