SHAH ALAM: Seorang pegawai perubatan yang tular susulan menggantung diri dalam sebuah bilik stor dekat rumahnya pada 5 Jun lalu disahkan hamil empat bulan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, laporan diterima daripada Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) daerah ini kira-kira pukul 8.55 malam pada hari tersebut.
Menurutnya, pusat kawalan itu menerima makluman daripada Hospital Sungai Buloh apabila menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang memberitahu isterinya menggantung diri di rumahnya.
“Mangsa dibawa ke Zon Merah Hospital Shah Alam oleh suaminya sendiri menaiki kereta dan usaha menyelamatkan mangsa dilakukan oleh petugas hospital tetapi gagal diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau menambah, mangsa dipercayai menggantung diri dekat sebuah bilik dekat bahagian atas rumah dua tingkat, dengan menggunakan kain selendang.
“Kain selendang diikat pada kipas dalam bilik tersebut. Turut ditemui adalah sebuah tangga yang dipercayai digunakan mangsa untuk naik ke atas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal turut memaklumkan siasatan terhadap insiden itu masih berjalan dan tidak menolak faktor bunuh diri akibat daripada tekanan yang dihadapi mangsa.































