Hajiji (duduk, tengah) bersama Ahli-ahli Majlis Daerah Tuaran yang baru dilantik.
TUARAN: Tindakan akan diambil terhadap mana-mana ketua jabatan yang didapati menghalang usaha Kerajaan Negeri untuk membawa masuk pelabur ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, terdapat keadaan di mana ketua jabatan didapati secara unilateral mengenakan peraturan mereka sendiri untuk pelabur yang berminat untuk melabur di Sabah.
“Dengan berbuat demikian, mereka telah menghantar isyarat yang salah kepada pelabur-pelabur ini yang kemudiannya mengelak daripada melabur di negeri ini.
“Saya memerhati dan jika ini berlaku, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya pada majlis angkat sumpah dan penyampaian watikah pelantikan kepada 19 Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi penggal 2023/2025 di Shangri-La Rasa Ria Resort, di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan surat pelantikan kepada Ahli Majlis Daerah Tuaran, Jeffrey Teo
Hajiji berkata, peranan ketua jabatan adalah untuk memudahkan pelaburan.
“Jika semuanya teratur, tidak perlu menyusahkan pelabur,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri hari ini mesra pelabur.
“Kita mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, sebab itu kita membawa masuk lebih ramai pelabur ke Sabah,” katanya sambil menambah dalam tempoh dua tahun lepas, jumlah pelaburan yang diterima Sabah bernilai lebih RM30 bilion.
Beliau berkata, yang terbaru ialah Esteel Group yang berpangkalan di Singapura yang membawa masuk jumlah pelaburan sebanyak AS$2 bilion ke Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Bukan sahaja ia mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat kita tetapi ia juga mewujudkan spin-off ekonomi yang besar,” katanya.
Pelaburan Esteel akan menghasilkan HBI (Hot Briquette Iron) dan keluli rata di SOGIP untuk Fasa 1, diikuti dengan pelaburan berbilion dolar untuk menghasilkan produk keluli hijau dalam fasa berikutnya.

Hajiji diiringi Hadzlan bertemu dengan Ahli Majlis Daerah Tuaran yang baru dilantik selepas majlis tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri menggesa semua ahli majlis daerah memainkan peranan mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka ke tahap yang terbaik.
“Peranan ahli majlis sebagai sebahagian daripada kerajaan tempatan adalah penting, khususnya dalam memastikan pembangunan di kawasan masing-masing dilakukan dengan betul dan sistematik.
“Jangan leka. Pantau pembangunan di kawasan anda dengan baik bagi mengelak ia menjadi pembangunan ‘rojak’,” katanya.
Bagi Ahli-ahli Majlis Daerah Tuaran, katanya, mereka perlu memanfaatkan kedudukan daerah yang berhampiran dengan Ibu Negeri dengan memastikan limpahan pembangunan dapat dirasai oleh penduduk di daerah itu.
Hajiji menggesa semua Ahli-ahli Majlis dan pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya peka dan proaktif dalam melaksanakan dasar kerajaan selain boleh berfikir di luar kotak.
“Pastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan dalam urusan mereka dengan Kerajaan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, wakil-wakil rakyat Tuaran, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jamili Nais dan Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee.































