Keadaan Perodua Myvi yang terbabas sendiri dan terbalik dalam kejadian itu. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang peremuan cedera manakala seorang lelaki selamat selepas kereta Perodua Myvi yang mereka naiki terbabas sendiri di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Severinus Nidzam @ Sainkui berkata, kejadian itu berlaku di Batu 1 1/2, hadapan Sabah Hotel, pada jam 4.46 pagi.
“Panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hazmizan Maksit dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh lima kilometer dari BBP itu, didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbabas sendiri dan terbalik.
“Terdapat dua orang mangsa terlibat. Seorang mangsa perempuan mengalami cedera parah telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Seorang lagi mangsa lelaki tidak mengalami kecederaan, tambahnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 5.14 pagi,” katanya.































