RANAU: Seorang pendaki wanita tempatan cedera selepas tergelincir dan terjatuh semasa menuruni Gunung Kinabalu di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Kilometer 8.3, dekat Layang-Layang, Gunung Kinabalu kira-kira jam 7 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai mengenai kejadian ini dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi, PBB Mauries Ubin bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian enam kilometer dari pos Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), didapati mangsa tidak dapat meneruskan perjalanan kerana dilaporkan tergelincir dan terjatuh ketika menuruni Gunung Kinabalu.
“Pasukan Bomba MOSAR, dibantu staf Taman-Taman Sabah dan Malim Gunung memberi rawatan awal kepada mangsa dan kemudian membawa mangsa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robinson,” katanya.
Ridwan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Ranau menggunakan jentera EMRS Bomba untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.07 tengah hari.































