Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut berhubung penemuan mayat bayi di Morowali, Sulawesi Tengah
JAKARTA: Penduduk setempat dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi di tempat pembuangan sampah di hadapan sebuah sekolah menengah di kampung Bahomotefe, Morowali di Sulawesi Tengah.
Lebih menyedihkan lagi apabila mayat bayi itu ditemukan dalam keadaan hangus terbakar keseluruhan.
Susulan kejadian itu, polis daerah Morowali menjalankan siasatan dan berjaya membongkarkan kes kematian bayi itu.
Menurut Utusan Malaysia, Kompas melaporkan, polis menahan seorang wanita berusia 22 tahun yang disyaki merupakan ibu kandung kepada bayi lelaki berkenaan.
Ketika disoal siasat, wanita dengan inisial NK dari Bungku Utara mengakui mangsa rentung itu merupakan bayinya.
Ketua Polis Morowali, Suprianto berkata, wanita muda itu melahirkan bayi lelaki secara bersendirian di bilik asrama didiaminya pada tengah malam Isnin lalu.
“Berdasarkan kenyataan NK, bayi itu tidak menangis ketika dilahirkan, malah tidak menunjukkan sebarang tanda masih hidup.
“Bayi lelaki itu kemudian dibalut dengan kain dan diletakkan dalam sebuah kotak. Selepas beberapa jam, NK membawa bayi itu ke tempat pembuangan sampah dan bertindak membakarnya bersama sisa lain,” katanya.
Tambahnya, mayat bayi yang rentung itu ditemukan oleh seorang wanita yang membuang sampah di tapak berkenaan.
Ketika ini, NK masih ditahan untuk siasatan lanjut.