Anwar Ibrahim semasa hadi pada Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di ibu negara hari ini.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih ingat dan hafal lagu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat iaitu lagu keramat parti UMNO.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, beliau menganggap kehadirannya ke Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2023 adalah bagi menunaikan tanggungjawabnya terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Saya rasa selesa dan biasa dengan suasana itu dan termasuk menyanyikan lagu itu. Ya, saya masih ingat lirik lagu UMNO.
“Yang penting adalah menyempurnakan tugas kepada negara. Pengalaman peribadi itu penting tetapi dia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan kerajaan.
“Saya hadir semula kerana saya menggunakan platform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Anwar meninggalkan bangunan UMNO pada pukul 12 tengah hari untuk makan tengah hari di Ampang dan kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul-Huda.
Terdahulu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut hadir ke persidangan itu bagi memenuhi jemputan UMNO. Antaranya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohammad Sabu dan timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.