Jonathan menerima cendera kenangan disampaikan John (kanan).
RANAU: Kampung Toboh Pahu yang terletak 44 kilometer dari Pekan Ranau, bakal mempunyai sebuah dewan terbuka.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin telah memberikan kelulusan peruntukan berjumlah RM50,000 untuk kos membina sebuah dewan terbuka kampung tersebut.
Beliau mengumumkan peruntukan itu ketika berucap merasmikan Majlis Lawatan Singkat dan Pemimpin Bersama Rakyat di Kg.Toboh Pahu baru-baru ini yang dihadiri lebih 80 orang penduduk.
Dalam ucapanya, Jonathan memaklumkan pihaknya tetap berusaha untuk menunaikan setiap keperluan mendesak di setiap kampung sebaik sahaja ada dana yang mencukupi.
“Peruntukan untuk membina dewan terbuka di kampung ini akan saya tunaikan walaupun kita menghadapi kekangan dana,” jelas beliau sambil merakam penghargaan dan terima kasih kepada warga Kg. Toboh Pahu dan penduduk kampung-kampung sekitarnya atas sokongan mereka kepadanya untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lepas.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Toboh Pahu, Flora Golontuh semasa berucap mewakili penduduk berterima kasih atas kehadiran Jonathan bersama rombonganya daripada Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.
“Saya mewakili penduduk kampung ini, berterima kasih kepada Datuk Jonathan kerana meluluskan peruntukan RM50,000 untuk kos pembinaan dewan terbuka yang amat kami perlukan selama ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi JPKK Kg. Toboh Lama, Roslin Salungin dan Ketua Kampung Kg. Toboh Lama, John Garamu.