Berita kehilangan Angie turut mendapat perhatian menyeluruh daripada warga dan media Thailand.
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan berhubung wanita tempatan yang hilang di Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihaknya bersama beberapa agensi penguat kuasa di luar negara dalam usaha mengesan mangsa.
“Kami menerima laporan polis daripada ibu kepada Chong Sum Yee atau dikenali Angie Chona Sum, wanita tempatan yang hilang di Chiang Mai, Thailand, Jumaat lalu.
“Usaha untuk mengesan mangsa sedang giat dijalankan oleh Polis Thailand melalui bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) serta PDRM dan juga kerjasama pihak-pihak berkuasa Thailand, Myanmar dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita tempatan, Angie Chona Sum Yee gagal dijejaki ahli keluarganya sejak 1 Jun selepas tidak aktif di aplikasi WhatsApp serta tidak membalas sebarang mesej.
Menerusi hantaran ibu mangsa, Zhu Caiyun di Facebook, anaknya yang bekerja di sebuah syarikat jualan langsung di Kuala Lumpur, pergi ke Thailand atas urusan kerja pada 29 Mei lalu.
Menurutnya, dia dimaklumkan majikan anaknya bahawa Angie bergerak seorang diri dan terdapat pekerja daripada syarikat yang sama akan menemuinya di Thailand.
Sehubungan itu, Zhu Caiyun turut mendedahkan lokasi terakhir Angie adalah di Chiang Mai ekoran dia ada memuat naik beberapa keping gambar di sekitar Chiang Mai, daerah Mae Sai, Chiang Rai, termasuk kawasan pintu sempadan antara Mae Sai dan Myanmar.
Tindakan Angie memuat naik gambar tersebut di Facebook peribadinya sebelum hilang tanpa dikesan merupakan petunjuk terakhir ditinggalkannya.
Dalam pada itu, berita kehilangan Angie turut mendapat perhatian menyeluruh daripada warga dan media Thailand.
Antaranya yang mendapat perhatian ramai adalah rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lobi hotel di mana lokasi Angie dilihat buat kali terakhir.
Di dalam video berkenaan, kelihatan Angie bersama seorang wanita berpakaian putih sebelum kedua-duanya hilang menaiki motosikal.