Keadaan kebakaran di Tuaran. – Ihsan Bomba
KUNAK: Empat buah rumah dan sebuah bengkel terbakar dalam kejadian berasingan di sini dan Tuaran hari ini.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kebakaran itu.
Tiga daripada rumah tersebut dan sebuah bengkel terbakar di Kampung Jaya Baru, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, PPgB Mohammad Omarbatha memberitahu, kejadian berlaku pada kira-kira jam 10.30 pagi dan panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 10.35 pagi.
Katanya, sepasukan 11 anggota diketuai beliau sendiri sebagai Komander Operasi, bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak dua kilometer dari BBP itu, kita mendapati tiga buah rumah jenis separuh kekal dan sebuah bengkel itu terbakar 80 peratus.
“Pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran, 400 kaki dan empat pancutan sumber air terbuka daripada sungai berhampiran,” katanya.
Menurut Mohammad, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.40 pagi.
Sementara itu, di TUARAN, sebuah rumah seorang penduduk kampung musnah dijilat api di Simpang Topokon, Jalan Tuaran-Kota Belud pada kira-kira jam 1.30 petang.
Ketua BBP Tuaran, PKPgB Abd. Qawie Abdul Gapar berkata, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 1.38 petang dan sepasukan 11 anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Azran Jull dikejarkan ke lokasi.
Katanya, apabila mereka tiba di tempat kejadian yang terletak lima kilometer dari BBP, didapati rumah jenis separuh kekal itu terbakar 80 peratus.
“Pemadaman menggunakan dua aliran, 200 kaki dan dua pancutan sumber air dari tangki jentera,” katanya.