Jahis bersama isteri, Datin Malianah Ugau serta rombongan, mengabadikan gambar kenangan bersama penduduk Kampung Guakon.
TAMPARULI: Masyarakat kampung diseru terus bina kesepakatan untuk memastikan setiap perkara yang dirancang terlaksana.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, perpaduan dalam kalangan penduduk kampung perlu dalam usaha merealisasikan apa sahaja matlamat yang ingin dicapai, di samping menjayakan program-program anjuran mereka.
“Kekalkan kecemerlangan, kekalkan kesatuan, capai kesepakatan dan perpaduan bagi membolehkan kita untuk menggerakkan apa sahaja aktiviti yang dirancang,” katanya.
Ucapan perasmian oleh Jahid (kanan).
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Guakon, sini hari ini.
Turut hadir Ketua Kampung Guakon, KK Maduin Piau, dan Pengerusi Penganjur Perayaan Pesta Kaamatan Kg Guakon Tamparuli, Jeffrey Gambung.
Katanya, penduduk yang bersatu mampu membentuk perpaduan, dan sikap toleransi serta kerjasama antara ahli masyarakat boleh menjamin kesejahteraan hidup berpanjangan.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, berkata, generasi muda di kampung Guakon yang berkebolehan dalam pelbagai kemahiran juga boleh dibentuk menjadi bakal pemimpin pada masa hadapan.
Jahid (empat kiri) menerima cendera kenangan daripada Pengerusi Penganjur, Jeffrey Gambung, sambil disaksikan tetamu jemputan lain.
“Ini terbukti dengan pencapaian-pencapaian mereka di dalam pelbagai lapangan masing-masing, di samping kebolehan menguasai bahasa ibunda sendiri,” katanya.
Justeru, beliau turut menasihati golongan muda agar sentiasa mendekati aktiviti sihat, dan menghindarkan diri daripada gejala dadah.
“Semoga Kampung Guakon ini sentiasa menjadi contoh dari segi pendidikan, bahasa, bangsa dan budaya kepada mana-mana kampung lain yang ada di kawasan Tamparuli,” ujar Jahid yang juga Timbalan Presiden KDCA.
Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pertandingan Masakan Tradisi, Sugandoi, dan lain-lain.