Dr. Rafiq bergambar bersama para pemenang Miss Kaamatan UCSF 2023.
KOTA KINABALU: Natallie Hazel Henry muncul sebagai johan Miss Kaamatan University College Sabah Foundation (UCSF) 2023 sempena sambutan Pesta Kaamatan UCSF yang diadakan baru-baru ini.
Tempat kedua dimenangi oleh Christine Kastin dan tempat ketiga oleh Fannylyn Foloren. Miss Popular UCSF dimenangi oleh Christine Kastin.
Pertandingan Sugandoi dimenangi oleh Deirdre Julius Kulip. Tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Siti Nur Saujanah Abdullah dan Cleofethra Jail.
Sementara pertandingan memasak makanan tradisi dimenangi oleh kumpulan Spice Gurls.
Naib Canselor UCSF, Dr. Rafiq Idris yang merasmikan pesta itu berkata, Kaamatan adalah simbol kesyukuran dan perpaduan.
Katanya, aktiviti yang dianjurkan seumpama itu membolehkan para pelajar untuk lebih memahani adat dan budaya pelbagai kaum di negeri Sabah.
Beliau berkata, sambutan itu masih mengekalkan rutin aktiviti yang sama dalam meraikan kepelbagaian budaya, kepercayaan dan tradisi berbilang kaum rakyat Sabah.
“Pesta Kaamatan merupakan platform terbaik untuk memupuk perpaduan melalui pendedahan amalan, adat dan kepercayaan budaya masing-masing,” tegasnya.
Menurutnya, Pesta Kaamatan UCSF 2023 yang merupakan kali ke-6 diadakan dijayakan dengan kerjasama Student Affairs Department (SAD), Faculty Management & Entrepreneurship (FME) dan UCSF Entrepreneurship Club (UEC).