ADUN Sook, Datuk Elron Angin (kiri), ADUN Membakut, Datuk Arifin Arif (tengah), dan ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan menunjukkan Buku Laporan Sabah Maju Jaya.
KOTA KINABALU : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan empat Rang Undang-Undang pada Mesyuarat Penggal Keempat DUN Sabah Keenam Belas, pada Khamis.Antara RUU yang diluluskan adalah RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang mewujudkan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar atau melompat parti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan lulusnya pindaan perlembagaan itu maka rakyat tidak perlu khuatir mengenai adanya ADUN yang akan lompat parti di masa akan datang.
“Pindaan Perlembagaan ini adalah selaras dengan Pindaan Perlembagaan di peringkat persekutuan.
“Saya yakin rakyat dan semua parti politik amat bersetuju dan kita perolehi sokongan 100 peratus berkenaan RUU lompat parti ini.
“Selepas ini, RUU akan digazetkan selepas dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk diperkenan,” katanya.
Beliau turut bersyukur Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah telah pun selesai dan berterima kasih kerana pindaan perlembagaan termasuklah anti lompat parti mendapat sokongan ADUN keseluruhannya.
“Ini menunjukkan bahawa kita mengamalkan satu prinsip mesyuarat ataupun mesyuarat mendapat keputusan untuk kepentingan rakyat negeri sabah.
“Kesemua wakil rakyat sama ada daripada kerajaan atau pembangkang mempunyai masa dan kualiti perbahasan yang cukup bagus,” jelasnya.
Tiga lagi RUU yang diluluskan adalah RUU Wakaf Negeri Sabah (Pindaan) 2023, RUU Tanah (Pindaan) 2023 dan RUU Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan (Pindaan) 2023.
Hari terakhir sidang DUN Sabah dihadiri Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri ll yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Timbalan Ketua Menteri lll merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
































