Dr. Joachim (kanan) bergambar bersama Joniston dalam Majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Kiulu, kelmarin.
KIULU: Kerjasama berterusan di kalangan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) dan dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat penting dalam meneruskan momentum kejayaan yang dinikmati sehingga kini, kata Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Kerana itu, beliau menyeru semua ahli-ahli parti untuk terus memperkukuhkan kerjasama sesama mereka di semua peringkat dan juga dengan rakan-rakan daripada parti-parti lain dalam GRS.
“Terdapat beberapa kejayaan yang sudah dikecapi di negeri ini hasil daripada kerjasama kita dalam GRS.
“Kita memerlukan kerjasama ini diteruskan dan diperkukuh di semua peringkat, sama ada di kalangan kepimpinan parti mahupun cawangan-cawangan…tanpa kerjasama yang kukuh, kita tidak akan menang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian Kiulu yang diadakan di Pusat Kebudayaan Kiulu, di sini, kelmarin (26 Mei).
Mesyuarat ini dihadiri seramai 400 perwakilan dan pemerhati GRS.

Dr. Joachim (tiga dari kanan), Joniston (enam dari kiri) bersama tetamu jemputan yang hadir merakamkan gambar kenangan AGM PBS Bahagian Kiulu.
Dr. Joachim yang juga Ketua Bahagian PBS Kundasang turut bersyukur dengan kepimpinan PBS yang begitu komited untuk meneruskan perjuangan parti, terus bekerja dan menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan.
PBS kini merupakan sebuah parti tertua di Sabah yang terus aktif di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dan juga di Labuan.
Beliau juga memberi jaminan bahawa bersama dengan Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang lain akan membantu mana-mana program yang akan dilaksanakan dalam parti.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian PBS Kiulu yang juga Pembantu Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Wanita, Datin Malianah Ugau; Ketua Pergerakan Pemuda; Christoper Mandut; Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Ketua-ketua Bahagian, serta pemimpin- pemimpin setempat.
Dr. Joachim turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi penganjur merangkap Timbalan Ketua Bahagian PBS Kiulu, Aliamis Sami dan juga kepada AJK pelaksana atas penganjuran mesyuarat ini.































