Hajiji menandatangani buku pelawat Sabah Softwoods Berhad.
KOTA KINABALU: Sabah Softwoods Berhad telah menetapkan penanda aras dalam pengurusan tanah yang mampan menjadikannya antara syarikat berkaitan kerajaan negeri yang paling menguntungkan sejak penubuhannya 50 tahun lalu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Sabah Softwoods telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor perladangan negeri menunjukkan ia mempunyai keupayaan untuk menguruskan aset tanah melalui pemaksimuman produktiviti sambil mengimbangi pertimbangan landskap dan alam sekitar.
Kejayaan syarikat dalam penyelidikan dan pembangunan, pengurusan perladangan dan pemuliharaan alam sekitar adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh semua orang, katanya sempena sambutan Jubli Emas Sabah Softwoods di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji (keempat kanan) melancarkan buku Sabah Softwoods Berhad bertajuk ‘50 Years of Pioneering Growth’.
“Sebagai salah satu GLC utama kita, Sabah Softwoods telah memberikan sumbangan besar dari segi dividen yang dibayar kepada Kerajaan Negeri. Ini membolehkan syarikat induknya, Innoprise Corporation Sdn Bhd berada di barisan hadapan dalam sektor perladangan kita.
“Ia telah memberi balasan kepada negeri ini dari segi membina bank tanah bergeran, menyokong usaha promosi pendidikan Yayasan Sabah dan aktiviti pemuliharaan alam sekitar serta program sosial lain untuk manfaat rakyat Sabah,” katanya.
Ketua Menteri berharap Sabah Softwoods akan terus menerajui sektor perladangan bukan sahaja di negeri ini malah di peringkat nasional dan global.

Hajiji bertemu dengan pesara Sabah Softwoods Berhad
“Kita mesti sentiasa menjaga hutan kita supaya ia dapat dikekalkan untuk generasi masa depan kita,” katanya.
Pada majlis sama, Ketua Menteri turut melancarkan buku sempena ulang tahun Sabah Softwoods yang menurutnya akan menjadi rekod sejarah dan kejayaan.
“Kini, kita perlu melihat lebih jauh ke hadapan dengan harapan untuk merealisasikan kejayaan negeri dan Sabah Softwoods untuk tahun-tahun akan datang. Kita berharap pengganti kita akan terus berpegang pada standard tertinggi yang ditetapkan dan mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.