KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperoleh keuntungan RM46 juta hasil jualan enam aset runcitnya di Lembah Klang dan Johor.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keuntungan itu menerusi jualan enam aset bangunan Giant Bandar Kinrara; bangunan Giant Putra Heights; bangunan Giant USJ; bangunan Giant Klang; bangunan Giant Ulu Klang dan bangunan Giant Plentong di Johor dengan keuntungan RM46 juta.
“Aset ini kita jual kepada Sunway Real Estate Investment Trust Berhad (Sunway REIT) yang 15.24 peratus dimiliki KWSP.
“KWSP turut bercadang menjual satu lagi aset runcitnya di Kelana Jaya kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Kuala Terengganu) yang mahu mengetahui jumlah diperoleh daripada penjualan portfolio enam aset runcit KWSP di Lembah Klang dan Johor.
Ahmad berkata, Jawatankuasa Pelaburan juga akan membuat kajian ketika ditanya jika KWSP bercadang melabur dalam bidang teknologi kewangan atau FinTech yang mencapai status Unicorn.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Jimmy Puah Wee Tse [PH-Tebrau] yang mahu mengetahui tentang peratus pelaburan KWSP di pasaran domestik, Ahmad memaklumkan, jumlah aset KWSP secara keseluruhan setakat ini adalah RM1 trilion yang membabitkan pelaburan hartanah dalam dan luar negara.
Jelasnya, jumlah pelaburan di dalam negara adalah RM11 bilion yang antaranya bangunan KWSP di ibu pejabat dan negeri, manakala hartanah KWSP luar negara berjumlah RM30 bilion dengan separuh daripadanya di United Kingdom dan antara yang terbesar Battersea.
“Projek yang begitu ikonik ini menjadikan jumlah aset hartanah sebanyak RM41 bilion. Setakat ini kita cukup menjaga kesemua pelaburan ini,” katanya.