James Ratib
KOTA KINABALU: Projek Naik Taraf Hospital Tawau untuk bangunan baharu apabila siap nanti akan menyediakan sebanyak 147 lot tempat letak kenderaan tambahan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Beliau yang juga ADUN Sugut menjawab pertanyaan Justin Wong (Sri Tanjong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Justin bertanya berapa banyak tempat letak kereta akan ditambah atau telah dirancang untuk Hospital Tawau; dan adakah sebarang rancangan untuk mengambil alih tanah kosong (nombor geran hakmilik: 1075411499) untuk tujuan penambahan kawasan tempat letak kereta.

James Ratib (kiri) sedang berbincang dengan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Jenddy Sanggau
“Kementerian saya melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan terdapat 350 lot tempat letak kenderaan di Hospital Tawau pada masa ini.
“Dengan siapnya Projek Naiktaraf Hospital Tawau untuk bangunan baharu, sebanyak 147 lot tempat letak kenderaan tambahan akan disediakan.
“Untuk makluman, untuk masa depan Hospital Tawau memerlukan sebanyak lebih kurang 1,000 hingga 1,500 lot letak kenderaan dan kita mengalu-alukan pelabur dari luar untuk membina parking ini secara Build-Operate-Transfer (BOT) dan disewakan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata beliau.
Sementara itu, James turut memaklumkan bahawa JKNS tidak mempunyai rancangan untuk mengambil balik tanah hak milik TL.107541499 milik Qhazanah Sabah atau Warisan Harta.
“Walau bagaimanapun, JKNS akan berhubung dengan Kerajaan Negeri tentang tanah-tanah kosong yang lain di sekitar kawasan hospital untuk dijadikan tempat letak kereta,” jelas beliau.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada kontraktor yang melaksanakan Hospital Tawau kerana berjaya menyiapkan Hospital Tawau dengan waktu yang ditetapkan dan siap sepenuhnya pada tahun ini.































