Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan liputan internet dipertingkatkan dan diperluaskan terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil negeri ini.
Menterinya, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, ini bagi memastikan keseimbangan pembangunan digital di seluruh daerah sesuai dengan tanggungjawab utama kementerian ini sebagai pembolehdaya (enabler) dan salah satu pemangkin penting yang memacu pembangunan sosioekonomi selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.
Beliau menjawab pertanyaan Dumi Pg. Masdal (Silam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini. Dumi bertanya tentang apakah perancangan kerajaan berkenaan talian internet yang lemah terutamanya di kawasan kampung khususnya Lahad Datu.
“Untuk makluman, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telahpun dirangka bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan jalur lebar di seluruh negeri termasuk kawasan luar bandar dan terpencil.
“Melalui pelan ini, beberapa rangka kerja telahpun dirancang seperti pembinaan menara baharu, menaiktaraf menara sedia ada kepada perkhidmatan 4G, peluasan penyediaan perkhidmatan gentian optik dan penyediaan jalur lebar satelit,” kata Dr. Mohd. Arifin.
Tambah beliau, sebanyak 169 buah menara telahpun siap dibina daripada 616 buah menara yang telah dirancang bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar mudah alih.
“Bagi meningkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih, sebanyak 4,158 stesen pemancar telahpun dinaiktaraf kepada 4G daripada 4,186 yang telah dirancang.
“Untuk meluaskan perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 180,346 daripada 303,569 premis telahpun tersedia dengan gentian berkelajuan gigabit.
“Manakala semua 138 lokasi perkhidmatan jalur lebar satelit di seluruh negeri telahpun siap sepenuhnya,” kata beliau.
Dr. Mohd. Arifin berkata, Kementeriannya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa berusaha dan komited memastikan sektor pendidikan tidak ketinggalan menikmati dan memanfaatkan kualiti jalur lebar internet.
“Sehubungan itu, lokasi tapak menara baharu telah dirancang dengan memberi fokus objektif liputan kepada kawasan-kawasan sekolah dan berpenduduk sekitar agar golongan pendidik dan pelajar luar bandar tidak ketinggalan menerima perkhidmatan internet yang berkualiti.
“Selain daripada Pelan JENDELA, satu lagi projek yang dikendalikan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang memberi fokus kepada kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk di Sabah adalah Point of Presence (PoP).
“Projek ini menyediakan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah PoP hab gentian optik dan mampu meningkatkan kesalinghubungan digital.
“Pada Fasa 1, sebanyak 59 daripada 67 projek ini telahpun disiapkan. Fasa 2 akan menyaksikan tiga sebanyak 636 PoP akan dilaksanakan pada tahun ini sehingga tahun 2025,” kata beliau.
Untuk memastikan penduduk termasuk golongan pendidik dan pelajar di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam menerima akses jalur lebar, Dr. Mohd. Arifin berkata, Kementerian telah merancang untuk memasang 300 buah jalur lebar satelit (VSAT) di 300 buah lokasi yang telahpun dikenalpasti di pinggir dan luar bandar seluruh negeri pada tahun ini.
“Dijangkakan pemasangan ini akan mula dilaksanakan pada suku tahun ketiga 2023 selepas senarai akhir lokasi dimuktamadkan.
“Penggunaan teknologi satelit ini akan membolehkan penduduk luar bandar termasuk golongan pendidik dan pelajar menikmati kemudahan internet selaras dengan inisiatif kementerian untuk menyediakan infrastruktur komunikasi melalui pelbagai teknologi,” kata beliau.
Selain daripada itu, Dr. Mohd. Arifin menyatakan bahawa Kementerian juga telah menyediakan kemudahan 31 buah Pusat e-Desa dan sebanyak 118 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) oleh MCMC di seluruh negeri yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk luar bandar termasuk golongan pendidik dan pelajar.
Pusat ini katanya, diwujudkan sejajar dengan matlamat rangka kerja National Bridging TheDigital Divide (BDD) yang bertujuan untuk merapatkan jurang digital di kalangan komuniti terutamanya komuniti luar bandar di negeri ini dengan penggunaan teknologi digital.
“Setakat ini, jaringan infrastruktur pada 12 buah Pusat e-Desa telahpun dinaiktaraf menggunakan gentian optik dengan kelajuan minima 300 Mbps,” kata beliau.
Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar agar sasaran 100 peratus kesalinghubungan (connectivity) di seluruh negeri tercapai menjelang tahun 2025.
“Terkini, kementerian telahpun menandatangani Memorandum Perjanjian dengan pihak Petronas Technology Ventures Sdn Bhd berkenaan dengan teknologi penghantaran data tanpa wayar (virtual fibre optic).
“Ianya merupakan teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi jarak jauh sehingga 100 kilometer.
“Pelaksanaan teknologi ini kelak akan menyaksikan penjimatan kos yang amat ketara terhadap pemasangan fiber optik biasa,” kata beliau.
Bagi kawasan Lahad Datu pula, Dr. Mohd. Arifin berkata, sebanyak sembilan menara baharu telah siap dibina dan 38 lagi sedang dibina.
“409 stesen pemancar pula telah siap dinaik taraf ke 4G dan empat lagi stesen sedang dalam proses naik taraf.
“Di samping itu, 8,387 jalur lebar tetap telah siap dipasang dan 1,925 lagi sedang dalam proses pemasangan.
“Dan selain itu, sebanyak tujuh jalur lebar satelit (VSAT) telah siap dipasang,” jelas beliau.