Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri belum ada sebarang perancangan untuk membekalkan internet percuma kepada mana-mana penjaja, termasuk di kawasan tamu Donggongon di Penampang.
Namun begitu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, kementeriannya dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri komited untuk memfokuskan penyediaan infrastruktur rangkaian dan jaringan internet demi memastikan kemudahan internet turut dinikmati oleh golongan tersebut.
“Di bawah projek Pelan JENDELA Fasa 1, pihak Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) telahpun menaiktaraf stesen-stesen pemancar kepada perkhidmatan 4G iaitu bagi 232 stesen pemancar kawasan Parlimen Penampang (P. 174) dan 79 stesen pemancar kawasan DUN Moyog (N. 26).
“Di bawah pelan ini juga, peningkatan kesalinghubungan digital yang berteraskan rangkaian gentian optik turut dilaksanakan di kawasan ini.
“Sebanyak 24,482 premis di kawasan Parlimen Penampang (P. 174) dan 6,178 premis di DUN Moyog (N. 26) telahpun dinaiktaraf dengan rangkaian gentian optik,” katanya.
Menurut Dr. Mohd. Arifin, pada tahun ini, kementerian juga akan melaksanakan pemasangan empat buah jalur lebar satelit (VSAT) di empat lokasi daerah Penampang iaitu Kampung Kodou, Kampung Inobong, Kampung Rugading dan Kampung Kibambangan.
“Diharapkan penyediaan infrastruktur ini dapat membantu golongan penjaja di kawasan Tamu Donggongon memanfaatkan penggunaan berurusan atas talian menggunakan aplikasi QR Code yang telah disediakan oleh syarikat berkaitan,” katanya menjawab pertanyaan Jannie Lasimbang (Kapayan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Jannie bertanya kepada bolehkah tamu Donggongon di Penampang dibekalkan dengan internet percuma dan laju bagi memudahkan transaksi atas talian, memandangkan sudah terdapat usaha pihak swasta memberi kemudahan kepada penjaja Tamu Donggongon untuk berurusan atas talian melalui penggunaan QR Code.
Sementara itu, Dr. Mohd. Arifin turut memberitahu bahawa di bawah perancangan Pelan JENDELA Fasa 1, sebanyak lapan (8) menara baharu telah diperuntukkan di kawasan DUN Balung.
Beliau menjawab kepada Datuk Hamild @ Hamid Hj. Awang (Balung) yang bertanya berapakah jumlah menara yang diperuntukkan untuk dibina di kawasan DUN N67 Balung di daerah Tawau sebagai satu langkah untuk meningkatkan talian komunikasi digital.
“Setakat suku pertama tahun 2023, enam menara telahpun siap dan sedang beroperasi; baki dua menara dijangka siap pada penghujung Disember 2023.
“Enam menara yang telah disiapkan tersebut adalah di Kampung Rancangan, Jalan Garson Spur Batu 22; Kampung Iban Kuala Nansang; Kampung Bukit Qouin, Ladang Sungai Kawa; Kinabutan Besar; PPR Seri Apas; dan Kinabutan Garden 2.
“Sesungguhnya pembinaan menara ini pasti dapat membantu penduduk di kawasan Balung menerima perkhidmatan selular yang berkualiti dan mampu mengatasi masalah liputan internet jalur lebar memandangkan menara komunikasi mempunyai radius liputan yang lebih meluas,” kata beliau.