KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang mengandungi peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri bertukar parti.
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya meluluskan Rang Undang-Undang yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor itu selepas kesemua 75 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir menyokong semasa pengundian belah bahagian dijalankan, sementara empat lagi ADUN tidak hadir.
Semasa membaca Rang Undang-Undang itu, Hajiji berkata, tindakan bertukar parti atau lompat parti ADUN di Sabah sering berlaku dan perkara ini menyebabkan ketidakstabilan politik yang seterusnya mengganggu perancangan pembangunan di negeri ini.
“Kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti atau lompat parti yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum. Ini kerana ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Menurut beliau, parameter penggubalan Rang Undang-Undang ini antaranya ialah:
(i) Peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri bertukar parti ini tidak akan terpakai secara retrospektif. Pelaksanaan Enakmen akan bermula dari tarikh kuat kuasa Enakmen;
(ii) Ahli Dewan Undangan Negeri yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri;
(iii) Keanggotaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri merujuk kepada keanggotaan dalam sebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak.
Selain daripada itu, keanggotaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri juga merujuk kepada seorang Ahli Dewan Undangan yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu ataupun direct member of the coalition party.
(iv) Keanggotaan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan undang-undang ini adalah keahlian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam suatu parti politik;
(v) Penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang- undang berkaitan dengan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri bertukar parti;
(vi) Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang meninggalkan parti politik untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bebas akan terhenti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan perlu mengosongkan kerusi; dan
(vii) Pengecualian terhadap larangan Ahli Dewan Undangan Negeri bertukar parti sebagaimana berikut:
(a) Ahli Dewan Undangan Negeri tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya;
(b) Pelepasan keanggotaaan Ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti politik apabila dipilih menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri. Dalam erti kata yang lain, perkara ini tidak akan menyebabkan Speaker kehilangan kerusinya (vacate his seat) di Dewan Undangan Negeri; dan
(c) Pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri daripada keanggotaan dalam parti politik tidak akan menyebabkan kekosongan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri itu.
Kata Hajiji, selaras dengan perkara ini, Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 ini mengandungi lima fasal seperti berikut:
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan memberi kuasa kepada TYT Yang di-Pertua Negeri untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Rang Undang-Undang.
Fasal 2 bertujuan untuk memotong Fasal (7) Perkara 6 memandangkan Fasal (7) tersebut tidak lagi selaras dengan kehendak di bawah Fasal (3) Perkara 6 berikutan situasi politik semasa.
Fasal 3 bertujuan untuk memotong Fasal (5) Perkara 17. Pemotongan Fasal (5) ini akan membolehkan mana-mana ahli Dewan Undangan yang melepaskan keahliannya untuk bertanding semula dalam pilihan raya pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam Dewan Undangan Negeri dan dengan itu kehilangan kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Undangan bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai.
Fasal 4 bertujuan untuk memasukkan Perkara baharu 17A untuk memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah terhenti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker di bawah Fasal (3) Perkara baharu 17A, jika telah dipilih ke Dewan Undangan Negeri sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi anggota parti politik itu.
Perkara yang sama juga terpakai bagi calon bebas yang setelah dipilih ke Dewan Undangan Negeri menyertai suatu parti politik.
Perkataan “anggota suatu parti politik” yang disebut dalam Perkara baharu 17A hendaklah termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan politik tetapi ialah anggota gabungan itu.
Seksyen baharu 17A juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang Ahli Dewan Undangan tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Undangan.
Kekosongan luar jangka di Dewan Undangan Negeri hendaklah dipastikan oleh Speaker apabila menerima notis bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan mengenai berlakunya kekosongan itu, dan dia hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya tentang kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.
Fasal 5 bertujuan untuk meminda Fasal (1) Perkara 46 untuk memasukkan takrif-takrif baharu iaitu takrif “kekosongan luar jangka” dan takrif “parti politik”. Fasal 5 ini juga bertujuan untuk meminda takrif “Persekutuan” supaya selaras dengan takrif “Persekutuan” di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya ingin menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 ini. Pindaan ini bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negeri terus berdepan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.
“Pindaan undang-undang ini juga akan memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri supaya berpegang teguh kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada Ahli yang dipilih ketika proses pilihan raya.
“Selain daripada itu, saya yakin Rang Undang-Undang ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan yang munasabah sekaligus memastikan kestabilan politik di Negeri ini untuk suatu jangka masa yang panjang.
“Sehubungan dengan itu, sokongan semua Ahli Yang Berhormat kepada Rang Undang-Undang ini amatlah penting memandangkan keperluan Fasal (2) Perkara 43 menyatakan kehendak di mana suatu Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Negeri Sabah hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan kepada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah Ahli Dewan.
“Besarlah harapan saya agar Rang Undang-Undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri sekalian,” kata Hajiji.



























