KOTA KINABALU: Keadaan cuaca panas antara faktor yang menjadi punca kenaikan penggunaan tenaga di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pihak Kerajaan bersama-sama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) amat prihatin berhubung dengan masalah yang berlaku berkaitan gangguan bekalan elektrik khususnya bagi masalah yang berlaku baru-baru ini.
“Cuaca panas yang melanda di Sabah sejak awal tahun dan terus meningkat sehingga ke hari ini mengakibatkan kenaikan beban tenaga yang semakin ketara terhadap Grid.
“Permintaan penggunaan tenaga elektrik ketika ini mencapai tahap maksimum sebanyak 1,080MW berbanding hanya 1,032MW pada Ogos tahun lepas,” kata beliau ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Shahelmey Yahya
Shahelmey berkata, hal ini ditambah lagi dengan beberapa stesen janakuasa yang tidak dapat beroperasi disebabkan oleh keperluan membuat selenggaraan dan kerosakan teknikal yang memerlukan masa untuk dibaik pulih.
Ini, kata beliau, telah mengakibatkan kekurangan kapasiti penjanaan yang boleh disalurkan kepada Sistem Grid SESB.
Tambahnya, permintaan beban yang tinggi berbanding kapasiti janaan pada waktu–waktu puncak memberi kesan kepada kestabilan Sistem Grid SESB yang dipantau setiap masa oleh Grid System Operator (GSO) di Load Despatch Centre (LDC).
Justeru, katanya, catuan bekalan secara terkawal dan berperingkat merupakan salah satu langkah jangka masa pendek SESB bagi memastikan kestabilan Sistem Grid SESB.
“Langkah ini bertujuan untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak 14 diingini berlaku kepada Sistem Grid SESB yang akan mengambil masa yang lebih lama untuk dipulihkan sekiranya berlaku masalah.
“Dalam keadaan semasa, catuan bekalan ini dianggarkan akan berlanjutan sehingga bulan Julai 2023 sekiranya permintaan beban kekal melebihi kapasiti janaan yang tersedia,” katanya.
Sebagai langkah interim, Shahelmey berkata, SESB telah memasang sebanyak 11 unit set janakuasa mudahalih (Mobile Genset) di lokasi strategik bagi membantu kestabilan Sistem Grid SESB.
Katanya, SESB juga kini sedang mendapatkan set janakuasa mudahalih tambahan daripada pembekal–pembekal set janakuasa di seluruh Malaysia untuk membantu dalam usaha ini.
“Sebagai langkah jangka masa panjang, KKR akan meminta Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) (iaitu badan perancangan tertinggi yang meluluskan Pelan Perancangan Penjanaan di Sabah yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri Sabah dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang telah meluluskan beberapa projek penjanaan baharu untuk menyokong pertumbuhan permintaan elektrik di Sabah,” katanya.
Salah satu projek yang berkenaan katanya, ialah Pelaksanaan Set Janakuasa Sewaan berkapasiti 125MW (yang mana kapasiti boleh ditingkatkan berdasarkan kepada permintaan bekalan elektrik semasa) yang dijangka akan beroperasi bermula suku kedua 2024.
Selain itu, katanya, projek lain ttermasuk Pelaksanaan Set Janakuasa Kitar Padu Gas berkapasiti 100MW di Kimanis yang dijangka akan beroperasi bermula suku kedua 2026.
Satu lagi projek terbabit ialah Pelaksanaan Set Janakuasa Gas berkapasiti 100MW yang dijangka akan beroperasi bermula suku kedua 2027.
“Projek juga melibatkan Pengoperasian Sistem Hibrid Bateri (Battery Energy Storage System (BESS)) bermula suku kedua 2027, Pengoperasian stesen janakuasa hidroelektrik baharu run off river di lembangan Padas dengan jumlah kapasiti sebanyak 170MW pada penghujung tahun 2027, dan Mulatugas stesen janakuasa hidroelektrik Upper Padas di Lembangan Padas dengan jumlah kapasiti sebanyak 180MW pada tahun 2029,” kata beliau.
Menurut Shahelmey, dengan penyiapan serta pengoperasian projek-projek penjanaan tersebut, adalah dijangkakan bahawa permintaan elektrik organik dan industri di Sabah dapat dipenuhi.
Menjawab soalan ADUN Sindumin, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Energy Commission of Sabah (ECoS) sedang bekerjasama dengan pihak SESB dan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (selaku badan kuasa kawal selia bekalan elektrik ketika ini) di dalam mempercepatkan perlaksanaan tindakan mitigasi jangka pendek.
“Pada masa yang sama pihak ECoS juga telah merangka pelan pembangunan penjanaan bagi jangkamasa sederhana dan jangkamasa panjang yang akan diputuskan sendiri dan dilaksanakan sejurus selepas Kerajaan Negeri mengambilalih kuasa kawalselia bekalan elektrik pada penghujung tahun ini.
“Berdasarkan pelan pembangunan penjanaan terkini, penambahan kapasiti penjanaan baru dalam tempoh jangka sederhana iaitu 5 tahun telah dapat direkodkan.
“Penambahan kapasiti penjanaan tersebut di atas adalah untuk menampung pertumbuhan permintaan beban di negeri Sabah termasuk keperluan industri yang telah komited,” katanya.
Tambah beliau, ia juga mengambilkira keperluan untuk pemberhentian operasi loji-loji yang usang dan yang telah tamat tempoh perjanjian.
Katanya lagi, pelan pembangunan penjanaan tersebut adalah mengambilkira keperluan jidar simpanan (reserve margin) sebanyak 30%, iaitu lebihan kapasiti sebanyak 30% daripada kehendak maksima sistem.
“Ini adalah bagi memastikan kapasiti penjanaan adalah sentiasa mencukupi walaupun terdapat pemberhentian sementara set penjanakuasa bagi pembaikpulihan terancang, kerosakan mana-mana penjanakuasa serta permintaan beban yang luarbiasa.
“Sementara menantikan loji-loji IPP baharu yang akan siap bermula tahun 2026, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sedang mengusahakan untuk mendapatkan penyewaan set penjanakuasa sehingga 200 MW dengan secepat mungkin yang akan mula beroperasi pada tahun ini.
“Dengan siapnya langkah mitigasi ini, maka jidar simpanan (reserve margin) akan kembali pulih ke tahap sekitar 30%,” kata beliau.
Sementara itu, Shahelmey memaklumkan bahawa status projek talian penghantaran 275 kV Southern Link buat masa ini masih belum diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan disebabkan oleh isu kekurangan dana Kerajaan Persekutuan untuk membiayai kos projek sebanyak RM1.4 bilion.
“Untuk ini, Kerajaan Negeri telah mencadangkan agar projek ini dilaksanakan segera dengan menggunakan dana yang telah diperuntukkan untuk projek Trans Sabah Gas Pipeline (yang tidak dapat diteruskan buat masa ini disebabkan oleh ketiadaan bekalan gas yang mencukupi untuk disalurkan).
“Cadangan ini masih di dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan dan pihak Kerajaan Negeri akan terus menyusul sehingga ianya terlaksana,” katanya.
Ini, jelas beliau, adalah kerana kepentingan Talian Penghantaran Southern Link bagi memelihara kestabilan grid Sabah disamping keperluan talian voltan tinggi bagi menyalurkan kuasa besar daripada penjanakuasa-penjanakuasa berskala besar ke 19 seluruh Grid Sabah dari tahun 2027 dan ke atas.
Selain itu, katanya, talian tersebut juga berpotensi untuk menjimatkan kos selari dengan initiatif perancangan kapasiti penjanaan jangka sederhana dan panjang ke arah kos penjanaan optima dan keupayaan talian bervoltan tinggi ini untuk mengurangkan kehilangan sistem.
Menjawab pertanyaan Datuk Darell Leiking (Moyog), Shahelmey berkata, buat masa ini pelaksanaan dan pengawalseliaan bekalan elektrik di Sabah adalah masih di bawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan (melalui Suruhanjaya Tenaga Malaysia) sehingga ianya diambil alih oleh Kerajaan Negeri yang dijangka pada penghujung tahun ini.
“Kerajaan Negeri sedang dalam perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan segala langkah-langkah untuk mempertingkatkan kapasiti penjanaan sehingga 200MW secara penyewaan set penjanaan, dan peruntukan kewangan untuk membiayai inisiaitif-inisiatif yang diperlukan untuk mengatasi situasi kritikal di negeri Sabah.
“Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) buat masa ini hanya mengawalselia sektor bekalan gas daratan berkuatkuasa pada 10 Januari 2023 dengan pewartaan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah dan Enakman Bekalan Gas,” katanya.
Walau bagaimanapun, kata Shahelmey, ECoS telah mengambil bahagian secara aktif ketika ini di dalam menyelesaikan isu semasa bekalan elektrik melalui kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Tenaga Malaysia dan SESB bagi memastikan kepentingan dan keperluan pengguna-pengguna di Sabah dipenuhi melalui pelbagai pelan mitigasi jangkapendek dan pelan jangka panjang yang mampan.
“Untuk makluman, pelan pembangunan penjanaan yang diselaraskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi jangka masa pendek di Sabah telah mengenalpasti IPP baharu berasaskan bahanapi gas asli dengan kapasiti 100MW di pantai barat Sabah yang telah selesai menjalani proses bidaan dan dijangka akan siap beroperasi pada tahun 2026.
“IPP tersebut pada asalnya dijadualkan siap pada tahun 2023 tetapi ianya telah mengalami kelewatan di dalam proses pembidaan dan kini dijangka siap pada tahun 2026.
“Disamping itu, 8 buah IPP Solar Berskala Besar dengan kapasiti 56 MW dijadualkan untuk siap pada tahun ini, manakala sebuah lagi dengan kapasiti 6 MW akan disiapkan pada tahun 2024,” katanya.
Shahelmey menambah, langkah mitigasi jangka pendek seperti pengoperasian semula IPP Libaran (30MW) di Sandakan dan IPP Serudong (33MW) di Tawau yang telah tamat operasi serta penangguhan menamatkan operasi loji janakuasa Disel (sekitar 200MW) milik SESB telah juga dilaksanakan sementara menantikan penyiapan loji janakuasa baharu.
Bagi jangka masa sederhana dan panjang, (setelah kuasa kawalselia bekalan elektrik diambil alih kelak), katanya sambil menambah, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan mengambilalih perancangan sepenuhnya bagi pembangunan penjanaan di Sabah dan berhasrat untuk membangunkan sumber-sumber tenaga boleh baharu seperti hidro, geotherma, biojisim, biogas, di samping bahan api transisi bagi menampung keperluan tenaga di negeri ini.























