Hajiji (kanan) bertemu dan berbual dengan Mohd. Shafie di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan lesen penerokaan kepada beberapa syarikat untuk cari gali mineral di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, ini merupakan peringkat awal dalam mengenal pasti sama ada terdapat mineral di kawasan yang dilesenkan atau sebaliknya.
Lesen penerokaan tersebut hanya sah selama dua tahun di mana ianya akan terbatal sendiri selepas itu sekiranya mereka tidak menemukan sebarang mineral, tambahnya.
“Kerajaan Negeri akan hanya membuat keputusan untuk aktiviti perlombongan kepada syarikat-syarikat tersebut sekiranya jumlah mineral yang ditemui adalah ekonomik untuk dilombong,” katanya ketika menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini. Beliau menjawab pertanyaan daripada ketua pembangkang Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Ketua Menteri turut menegaskan sekali lagi bahawa Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021 – 2025) merupakan satu pelan pembangunan komprehensif yang digubal dan dilaksanakan secara berfasa.
“Pelan pembangunan ini adalah milik kita bersama dengan slogan “Sabah Maju Jaya” diambil daripada moto dalam jata negeri untuk menanam nilai-nilai murni di kalangan rakyat Sabah, berdaya saing dan memajukan diri, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah, selaras dengan moto tersebut,” kata Hajiji.
Mengenai Assafal P Alian (Tungku) yang menyarankan Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan report card (kad laporan) atau pencapaian Pelan Pembangunan SMJ 1.0 : 2021 – 2025, Ketua Menteri berkata, dua laporan telah dikeluarkan iaitu Laporan Tahunan pencapaian sepanjang dua tahun Pelan Pembangunan SMJ dan Laporan Pencapaian inisiatif Tahun 2022, yang memaparkan perincian report card dengan markah pencapaian.
“Kedua-dua laporan ini boleh diakses melalui portal Sekretariat Sabah Maju Jaya: smj.sabah.gov.my. Sebuah buku juga telah diterbitkan dan Sekretariat SMJ akan mengedarkan kepada semua Ahli Yang Berhormat dalam tempoh terdekat,” katanya.
Berkenaan isu tanah dibangkitkan oleh Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin (Nabawan) dan Sarifuddin Hata (Merotai) yang menyentuh isu permohonan tanah untuk tujuan Temporary Occupation License (TOL), Hajiji berkata berasaskan Enakmen Hutan 1968, bakal pengusaha perlu memohon TOL untuk membolehkan aktiviti membalak dijalankan atas tanah kerajaan.
“Permohonan untuk tanah kerajaan boleh dibuat sama ada secara individu atau berkumpulan, syarikat dan pertubuhan korporat atau persatuan yang berdaftar. Permohonan tanah yang dipohon oleh mana-mana syarikat yang telah diproses dengan lengkap dan teratur oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan mematuhi semua kehendak undang-undang, permohonan tanah boleh diluluskan oleh Kerajaan Negeri.
“Walau bagaimanapun, TOL dan Lesen Hutan hanya akan dikeluarkan setelah semua keperluan dan syarat jabatan-jabatan yang berkepentingan dipatuhi seperti kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (Environment Impact Assessment – EIA) atau Proposal Mitigation Measures (PMM), pembayaran hasil tanah, penyukatan kawasan dipohon dan lain-lain.”
“Kerajaan Negeri akan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri untuk menghalang kemasukan ke negeri Sabah bagi mana-mana pertubuhan-pertubuhan atau NGO atau individu daripada luar Sabah yang mengganggu keharmonian serta ketenteraman awam di Sabah,” tegasnya.
Menjawab pertanyaan Mohd. Shafie berkenaan penglibatan Kerajaan Negeri dalam perniagaan huluan industri minyak dan gas, Hajiji berkata, adalah penting bagi Kerajaan Negeri Sabah untuk mengambil bahagian dalam perniagaan huluan industri minyak dan gas kerana industri huluan merupakan sumber kehidupan bagi industri minyak dan gas.
Tanpa huluan ini, tiada industri pertengahan mahupun hiliran di negeri ini, jelasnya.
jJusteru itu, katanya, dengan terlibatnya dalam rantaian bekalan huluan industri minyak dan gas, Kerajaan Negeri Sabah akan memperoleh faedah-faedah seperti peningkatan faedah ekonomi dan kewangan hasil daripada penjualan kedua-dua minyak mentah dan gas asli yang mana merupakan sumber rantaian nilai industri minyak dan gas; peningkatan kadar peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan Sabah, menggalakkan lebih banyak tawaran serta peluang kontrak tempatan dengan memperoleh persefahaman dalam perniagaan huluan; dan peningkatan tahap pengetahuan rakyat Sabah dalam sumber minyak dan gas, serta ilmu pengumpulan data rizab hidrokarbon Sabah yang sedia ada atau yang akan datang agar sebarang keputusan dibuat yang berkaitan dengan industri minyak dan gas adalah untuk kepentingan negeri Sabah.
“Itulah sebabnya mengapa Kerajaan Negeri meneruskan pengambilalihan 50 peratus saham dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Samarang (PSC) yang ditawarkan kepada SMJ Sdn. Bhd. di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang telah ditandatangani bersama dengan Petronas.
Hasilnya, SMJ Sdn. Bhd. akan menerima 50 peratus rakan kongsi kelayakan pengeluaran minyak dan gas.
“Bagi petrokimia hiliran, Kerajaan Negeri telahpun memperoleh 25 peratus saham dalam Petronas Chemicals Fertilizer Sabah Sdn. Bhd. (SAMUR) melalui SMJ Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik kilang Ammonia/ Urea yang terletak di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP). Ia merupakan fasiliti pengeluar ammonia dan urea bertaraf dunia dan dibina untuk menghasilkan 1.9 juta tan metrik ammonia dan urea setahun. Ia juga merupakan komponen loji ammonia dan urea tunggal terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar Asia Pasifik,” jelasnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri Sabah akan meneruskan lebih banyak pengambilalihan pada masa hadapan agar dapat mengembangkan lagi penglibatan negeri Sabah di dalam industri minyak dan gas supaya lebih banyak hasil dan penyertaan dapat dicapai untuk negeri Sabah seperti yang telah diperuntukkan dalam CCA.
“Mengenai dengan Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum yang dibangkitkan oleh Merotai Assemblyman, pencapaian demi pencapaian telah kita kecapi dalam industri minyak dan gas. Kutipan cukai jualan negeri ke atas produk petroleum yang telah menyumbang sejumlah RM4.21 bilion ke atas hasil negeri. Maka, Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan dalam masa terdekat untuk menghentikan pelaksanaan cukai jualan negeri ke atas produk petroleum.
“Hasil daripada industri minyak dan gas mampu melipatgandakan pendapatan negeri agar lebih meningkat, kukuh dan mampan yang sudah pasti akan dinikmati oleh semua lapisan rakyat di negeri ini,” katanya.
Mengenai hasil negeri, Ketua Menteri memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri kini mempunyai RM6.786 billion rizab tunai.
Ketua Menteri berkata, tidak dapat dinafikan, peningkatan hasil yang drastik sejak dua tahun kebelakangan ini sememangnya merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan.
“Walaupun dalam situasi hasil yang kian kukuh seperti ini, ia bukanlah alasan untuk kita merasa selesa dan berpeluk tubuh dengan pencapaian tersebut. Antara cabaran utama yang perlu kita hadapi adalah bagaimana untuk mengekalkan sumber hasil negeri agar agenda pembangunan negeri dapat diteruskan selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sehubungan itu, suka saya mengingatkan sekali lagi kepada semua kementerian, jabatan dan agensi pemungut hasil negeri untuk melipatgandakan usaha ke arah pungutan hasil yang lebih tinggi di samping terus meneroka hasil-hasil baharu.
“Kita sedia maklum bahawa, walaupun dalam keadaan ekonomi yang semakin pulih ini, kita masih lagi berdepan dengan pelbagai keluhan seperti yang dibangkitkan sepanjang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada kali ini. Oleh itu, saya ingin menyeru sekali lagi kepada semua kementerian, jabatan, agensi yang relevan untuk terus bekerja keras dan mengambil langkah yang lebih proaktif dan berhemah untuk menyelesaikannya agar keselesaan dan kesejahteraan rakyat terjamin.”
Ketua Menteri juga berkata, Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu tabung amanah bagi memastikan peruntukan Negeri Sabah yang telah diluluskan dalam Belanjawan Negara disalurkan terus ke dalam tabung amanah ini sekiranya penyaluran peruntukan dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan.
“Dengan penubuhan tabung Amanah ini, Kerajaan Negeri dapat mengawal dan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan dan pemantauan kerja fizikal serta kewangan bagi semua projek pembangunan negeri,” katanya.