Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri setakat ini belum menerima apa-apa peruntukan untuk projek-projek bernilai RM50 juta dan ke bawah memandangkan mesyuarat belum dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri.
Walau bagaimanapun, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, mesyuarat pertama dijangka akan diadakan pada bulan Jun 2023.
Beliau menjawab Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) yang bertanya berkenaan status peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM50 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dan apakah pihak Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk mengurus peruntukan dan perolehan tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Julita menjelaskan, selaras dengan hasrat dan semangat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63), Kementerian Kewangan Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Perolehan Kerja Projek Pembangunan Persekutuan Yang Dilaksanakan Oleh Jabatan Teknik Negeri Sabah dan Sarawak bertarikh 1 Mac 2023.
Katanya, menurut garis panduan tersebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah diiktiraf sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
“Susulan dari pengiktirafan tersebut, Kerajaan Negeri melalui JKR dan JPS adalah diberi kuasa sebagai Agensi Pelaksana bagi perolehan Kerajaan termasuk perkhidmatan perunding untuk projek pembangunan fizikal Kerajaan Persekutuan di Sabah dengan had nilai sehingga RM50 juta.
“Jabatan berkenaan juga diberi kuasa untuk mempelawa, membuka, menilai, mengesyor dan memperaku tender untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Perolehan Kerajaan Sabah,” katanya.
Julita berkata, tatacara perolehan bagi projek-projek berkenaan adalah berdasarkan Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Perbendaharaan Persekutuan yang berkuatkuasa.
Katanya, bagi kuasa mengurus peruntukan, pada masa ini masih dikekalkan di bawah Kementerian Pelanggan di mana peruntukan akan disalurkan oleh Kementerian Pelanggan kepada Jabatan Teknik Sabah berdasarkan permohonan unjuran tahunan.
“Manakala Kerajaan Negeri setakat ini belum menerima apa-apa peruntukan memandangkan mesyuarat belum dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri.
“Walau bagaimanapun, dijangka mesyuarat pertama akan diadakan pada bulan Jun 2023,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Lembaga Perolehan Kerajaan Negeri hanya boleh mempertimbangkan dan menyetuju terima tender dengan syarat keputusan yang dibuat adalah sebulat suara dan tidak melebihi had nilai dan kuasa yang ditetapkan.
“Keputusan yang tidak sebulat suara dan/atau melebihi had nilai dan kuasa Lembaga Perolehan Kerajaan Negeri hendaklah dikemukakan ke Kementerian Kewangan Malaysia untuk keputusan muktamad.
“Dengan erti kata lain, Lembaga Perolehan Kerajaan Negeri diberi punca kuasa sepenuhnya bagi memutuskan pelantikan dan keputusan adalah muktamad,” ujarnya.
Julita berkata, bagi pemantauan ke atas pelaksanaan dan kemajuan projek pula, ia adalah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Teknik, Kementerian Pelanggan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Jabatan Teknik adalah bertanggungjawab memastikan maklumat dan kemajuan projek dikemaskini di platform dalam talian yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.































