Awang Askandar Ampuan Yaacub
KOTA KINABALU: Pasukan sherpa (malim gunung) dijangka membawa turun jenazah Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah yang berasal dari Kampung Benoni, Papar dari Camp 4 ke Base Camp, Gunung Everest pada jam 2.00 petang (waktu tempatan) hari ini.
Ini dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pihak kedutaan juga memaklumkan bahawa jenazah Awang Askandar dijangka akan dibawa turun dari Base Camp ke Kathmandu pada keesokan hari apabila keadaan cuaca mengizinkan.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab kepada APM dan Ahli Parlimen Papar, saya telah berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
“Ketua Menteri Sabah memberikan komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans bagi pengurusan jenazah Allahyarham Awang Askandar untuk memastikan jenazah dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar, Sabah sebagaimana hasrat ahli keluarga,” katanya.
Katanya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga telah menyalurkan sumbangan untuk tujuan menambah tanggungan kos pengurusan.
Pada masa yang sama katanya, mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
Keprihatinan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah amatlah dihargai, tambahnya.
Terdahulu, Armizan telah mengadakan sidang video bersama Dato’ Mohammad Ali Selamat, Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negara dan Mohd Fazle Abu Hasan, Counsellor/Charge d’Affaires, Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
Awang Askandar disahkan meninggal dunia pada Jumaat lalu ketika misi menakluk puncak Everest.



























